Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, ditutup hari ini, susulan laluan ke Rantau Panjang terputus akibat banjir yang semakin teruk.

Difahamkan, kebanyakan kakitangan yang bertugas di ICQS tidak dapat melepasi memandangkan laluan di Kalbok 5, di Pasir Mas-Rantau Panjang.

Jurucakap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu susulan air di Rantau Panjang semakin naik.

“Kita mengambil maklum arahan daripada pihak polis yang memaklumkan laluan ke Rantau Panjang di Kalbok 5 ditutup oleh semua kenderaan.

“Justeru, operasi di ICQS di Rantau Panjang ditangguhkan untuk sementara waktu sehingga laluan dibuka semula,” katanya.

Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas memaklumkan laluan Pasir Mas-Rantau Panjang ditutup untuk semua kenderaan, mulai malam tadi.

“Atas faktor keselamatan, semua pengguna dinasihatkan tidak melalui kawasan Kalbok 5 bermula malam ini (malam tadi) sehingga diberitahu kelak kerana keadaan jalan tidak selamat untuk semua jenis kenderaan,” katanya.-Harian Metro