Proses pembinaan hospital baharu di Pasir Gudang telah mencapai pada tahap 63.26 peratus.
Peratusan itu merupakan perkara yang membanggakan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon.
“Sudah pasti ia merupakan pencapaian terbaik kerana ianya sudah melepasi tahap perancangan asal iaitu 41.5 peratus untuk tempoh ini sebelum dijangka siap pada Mac 2025.
“Kemajuan ini sangat memuaskan dan keseluruhan pembinaan hospital ini dijangka siap pada Mac 2025,” katanya menerusi kenyatan hari ini.
Jelas Tian Soon lagi, hospital berkenaan akan beroperasi secara berperingkat pada tahun yang sama.
“Kelihatan bangunan utama hospital, kuarters jururawat dan rumah kakitangan sedang dalam pembinaan.
“Semoga dengan sempurnanya pembinaan Hospital Pasir Gudang ini, mutu perkhidmatan kesihatan dalam negeri ini dapat ditambah baik sekaligus mengurangkan kesesakan hospital lain dalam daerah Johor Bahru,” katanya.
Terdahulu, Tian Soon meluangkan masa meninjau tapak pembinaan Hospital Pasir Gudang yang bernilai RM376.32 juta itu bagi memastikan fasiliti perubatan yang dinanti-nantikan warga Pasir Gudang dapat disiapkan secepat mungkin.
Hospital baharu Pasir Gudang itu akan merangkumi 14 perkhidmatan klinik pakar dan dilengkapi 304 katil.
Bagaimanapun sebelum ini difahamkan kerja pembinaan tertangguh atau bergerak perlahan.
Sebelum ini, projek pembinaan Hospital Pasir Gudang yang dimulakan pada September 2020 dijadualkan siap pada September 2024 sebelum dilanjutkan ke November 2024. – MalaysiaGazette