Jepun adalah negara terakhir yang dilawati Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri bagi tahun 2023.
Beliau berada di negara matahari terbit itu ialah bagi menyertai Dialog Asean – Jepun yang diadakan di Tokyo.
Dalam lawatan ke Jepun selama lima hari itu, selain menghadiri aturcara rasmi Dialog Asean – Jepun itu, Anwar juga mempunyai pelbagai acara lain lagi, termasuk beramah mesra dengan rakyat Malaysia yang tinggal di sana serta bertemu dengan pelabur serta syarikat-syarikat utama.
Dalam konteks ekonomi, lawatan Anwar ke Jepun ini telah berjaya membawa beliau bertemu dengan tiga syarikat utama – ROHM WAKO Ltd, NEC Co Ltd dan Mitsui &Co.
Susulan pertemuan itu, beliau mengumumkan potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion bakal memasuki Malaysia dalam jangka waktu terdekat ini.
Pelaburan ini umpama ‘buah tangan’ paling manis dari Jepun sebelum tirai 2023 dilabuhkan.
Dengan angka terbaru itu, ia menjadikan jumlah pelaburan dari Jepun sejak 2013 adalah berjumlah hampir RM30 bilion.
Dalam hal ini, amat benar seperti kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak lama sebelum ini yang menyebut Anwar adalah ‘ ‘salesman terbaik’ untuk negara.
Ke negara mana sahaja beliau pergi dan bertemu dengan pemimpin-pemimpin syarikat yang ditemuinya, hasilnya tidak lain ialah kesediaan syarikat-syarikat berkenaan melabur atau menambah lagi pelaburan mereka.
Akhirnya, dengan kemasukan lebih banyak pelaburan itu, kita sebagai rakyatlah yang akan mendapat manfaatnya.
Selain itu, sudah tentu dalam lawatan ke Jepun bersama pemimpin-pemimpin negara Asean yang lain, hubungan Malaysia dalam pelbagai bidang dengan negara tersebut akan bertambah baik lagi.
Ini sekaligus memberi banyak tambah nilai dari segi ekonomi, hubungan sosial dan kedatangan pelancong.
Apa yang lebih menggembirakan, sempena lawatan ke Jepun ini juga diumumkan bahawa Dasar Pandang Ke Timur yang selama ini hanya meliputi Jepun dan Korea Selatan akan diperluaskan lagi dengan merangkumi sana negara China.
Melalui pengumuman Anwar itu, ini sebenarnya memberi makna yang sangat besar daripada sudut ekonomi kerana skop Dasar Pandang Ke Timur menjadi bertambah besar lagi.
Ia dengan sendirinya menjadikan lebih banyak hubungan kerjasama ekonomi boleh dilakukan atau dikembangkan lagi selepas ini antara Malaysia dan tiga negara kuasa ekonomi Asia itu melalui semangat Dasar Pandang Ke Timur.-MP