Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun menyaksikan pemimpin utama ASEAN dan Jepun membentangkan cadangan yang akan dimuktamadkan menerusi kenyataan bersama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan pandangan Malaysia demi kelangsungan kerjasama yang sedia terjalin antara ASEAN dan Jepun.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan empat bidang kerjasama bagi memperluas dan memperdalamkan kolaborasi dalam ASEAN untuk memperkasakan rakyatnya supaya berdaya tahan dan lebih mampu menangani cabaran masa depan.

Anwar menjelaskan kepada pemimpin ASEAN dan Jepun selaku tuan rumah Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di sini, empat bidang itu ialah kesihatan awam, pengawalan iklim, pengurusan bencana dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

Malaysia mahu memanfaatkan pengalaman dan kepakaran Jepun dalam pengurusan bencana dengan mewujudkan Pusat Bantuan Bencana secara kekal di Malaysia.

“Kita perlu bekerjasama di luar kerangka persidangan dan diplomatik. Selari penubuhan Pusat Kesihatan Awam dan Penyakit Baharu ASEAN nanti, kami mencadangkan Jepun perlu menjemput negara anggota ASEAN untuk menempatkan penyelidik mereka di pusat tersebut,” katanya pada sidang itu.

Sementara itu, Anwar mahu ekonomi digital terus diperkasa bagi rantau ini, selari Pelan Induk Digital ASEAN 2025. 

Akses internet yang inklusif kepada segenap komuniti mampu menyokong aktiviti perniagaan e-dagang khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menyedari kepakaran Jepun dalam bidang digital, saya menyeru kerjasama dipertingkat terutama yang mampu memanfaatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana.

“Saya juga mengalu-alukan usaha ERIA (Economic Research Institute for ASEAN and East Asia) dalam mengangkat agenda ekonomi digital termasuk dalam penubuhan Pusat Inovasi Digital dan Ekonomi Mampan (E-DISC),” tambahnya lagi.

Hari ini, Perdana Menteri dijadual menyertai Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC), diikuti jamuan makan tengah hari bersama pemimpin perniagaan Jepun.

Beliau juga akan menghadiri majlis minum petang di Istana Maharaja Jepun, sebelum kemudiannya menyertai perjumpaan bersama diaspora Malaysia.-Berita RTM