Jabatan kecemasan di Hospital Al-Shifa di utara Gaza, musnah akibat pengeboman Israel.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyifatkan hospital itu “mandi darah” dan “memerlukan resutiasi” (kaedah memulihkan seseorang yang hampir maut secara tiba-tiba, kerana lemas atau serangan jantung).
Pasukan dari WHO dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dapat menghantar bekalan perubatan ke hospital terbesar di wilayah Palestin pada Sabtu.
WHO dalam satu kenyataan berkata, “berpuluh-puluh ribu penduduk yang berpindah menggunakan bangunan hospital dan kawasan selamat sebagai tempat perlindungan”, dan penduduk Gaza juga kekurangan bekalan air minuman dan makanan.
“Pasukan itu menggambarkan jabatan kecemasan hospital tersebut sebagai ‘mandi darah’, dengan beratus-ratus pesakit yang cedera masih di dalam wad ditambah pula dengan pesakit baru tiba setiap minit,” kata organisasi itu.
“Pesakit yang cedera turut mengalami trauma dan ada juga yang sedang mendapatkan rawatan di lantai… ia disebabkan tiada pembantu disediakan”.
Hospital itu berfungsi pada skala minimum dengan kakitangan yang sangat sedikit dan WHO berkata, “pesakit kritikal, mereka dipindahkan ke Hospital Arab Al-Ahli untuk pembedahan”.
Dewan bedah tidak berfungsi kerana kekurangan oksigen dan bekalan. Hanya 30 pesakit boleh menjalankan dialisis setiap hari.
Semua infrastruktur kesihatan di Gaza terjejas teruk disebabkan pengeboman dan operasi darat yang dilakukan oleh tentera Israel sejak serangan 7 Oktober lalu.
Menurut Hamas, serangan balas Israel di Gaza telah membunuh 18,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
WHO berkata ia akan memulihkan Hospital Al-Shifa “dalam beberapa minggu akan datang” agar ia boleh menyambung semula perkhidmatan kesihatan asas.
“20 dewan bedah di hospital itu boleh diaktifkan sekiranya dibekalkan dengan bekalan tetap elektrik, oksigen, ubat-ubatan, makanan dan air,” kata WHO.
Pada masa ini, Al-Ahli Arab merupakan satu-satunya hospital yang “berfungsi” di seluruh utara Gaza, manakala tiga hospital Kompleks Perubatan Al-Shifa, Al Awda dan Al Sahaba berfungsi pada tahap minimum.
Sebelum perang, terdapat 24 kemudahan kesihatan operasi.
WHO juga menyatakan kebimbangan mengenai hospital Kamal Adwan, ia berikutan tentera Israel mula menyerang ke arah bilik pesakit di kemudahan yang dikepung itu.- AFP