Inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dijangka menjana pelaburan kira-kira RM1.9 juta dan mencipta pekerjaan kepada 3,600 penduduk setempat.
Diiktiraf sebagai zon ekonomi utama di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), inisiatif SABDA yang dipacu oleh Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI) itu bertujuan untuk memastikan keterjaminan makanan Selangor dengan menyokong projek pertanian di Sabak Bernam dan memajukan ekonomi biru Selangor.
Ia juga akan menumpukan kepada pembangunan industri perikanan di daerah itu, termasuk pengeluaran produk hiliran makanan laut, di samping mempromosikan eko-pelancongan air dan pertanian dengan impak yang minimum ke atas alam sekitar.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari, berkata pembangunan SABDA tidak hanya tertumpu kepada usaha menarik pelaburan besar bagi memacu ekonomi baharu sahaja, tetapi ia turut mendalami aktiviti dan sokongan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan masyarakat.
null
“SABDA akan membantu projek sedia ada menerusi pemberian geran, penerapan teknologi, dan peningkatan kemahiran, antara lainnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Karnival Ban Canal 2023 yang meraikan keunikan semangat kemasyarakatan, kekayaan budaya, dan komitmen terhadap inisiatif eko-pelancongan mampan di Sabak Bernam sampai ke kemuncaknya.
Acara dianjurkan MBI sebagai sebahagian daripada SABDA itu mempamerkan identiti tempatan, penjagaan alam sekitar dan wawasan yang dikongsi bersama demi kelestarian masa depan.
Dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung setakat ini, karnival itu berjaya menyatukan penduduk tempatan dan para pengunjung untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan warisan budaya Sabak Bernam.
Potensi Ban Canal sebagai kawasan tumpuan rekreasi dan eko-pelancongan kontemporari menjadi bukti nyata komitmen daerah itu dalam memelihara warisan sejarah dan alam sekitarnya.
Pelbagai aktiviti telah diadakan bagi memeriahkan lagi karnival yang bukan sahaja menampilkan bakat dan kemahiran tradisional tempatan, tetapi turut memupuk semangat perpaduan dan kebanggaan dalam kalangan masyarakat.
Sebanyak 14 aktiviti diadakan di sepanjang penganjuran karnival itu yang disertai oleh 1,200 individu, seperti Lumba Perahu Tradisional, Inovasi Rekacipta Perahu dan Larian Bendang.
Pengerusi SABDA yang juga EXCO Kemajuan Desa Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail, berkata Karnival Ban Canal akan menjadi acara eko-pelancongan utama dalam kalendar tahunan SABDA, selain diharap dapat disenaraikan dalam kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
“Kami berharap dapat menyambut lebih ramai peserta dan pengunjung dari seluruh Malaysia dalam edisi yang akan datang,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Norita Mohd Sidek, pula berkata komitmen MBI untuk menyuntik semangat baharu ke Sabak Bernam melangkaui karnival yang dianjurkan dengan mempromosikan eko-pelancongan.
“Sebarang pemberian geran akan merangkumi aspek pembangunan kemahiran bagi memperkasakan masyarakat tempatan.
“Matlamat kami ialah membantu penduduk Sabak Bernam memahami cara terbaik untuk memanfaatkan kaedah baharu bagi memaksimumkan output dalam pertanian dan perikanan, sekali gus memastikan kemampanan masa depan perniagaan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.-BH Online