Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu jalinan usaha yang konsisten dan dinamik antara Malaysia, menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Akademi Fiqh Islami Antarabangsa (IIFA) di peringkat antarabangsa, diteruskan.

Perdana Menteri berkata, ia khususnya dalam usaha penganjuran pelbagai program bercorak seminar, kajian dan pendidikan pada masa hadapan.

“Usaha ini selaras matlamat Malaysia Madani, antara lain untuk menarik sinergi kepelbagaian latar bagi mengupas hal ehwal agama dalam kefahaman sebenar, seimbang dan memahami sosiobudaya masyarakat berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah,” kata beliau dalam catatan di media sosial, hari ini.

Dalam catatan sama, Anwar turut berkongsi gambar kunjungan Setiausaha Agung IIFA, Prof Emeritus Datuk Dr Koutoub Mustapha Sano di pejabatnya semalam, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif dilaksanakan Koutoub yang berusaha mengangkat martabat wanita melalui pembudayaan ilmu dan sistem pengajian yang sistematik di beberapa buah negara Islam.

“Saya turut berkongsi aspek bantuan pendidikan kepada Palestin yang disambut baik oleh Dr Koutoub,” katanya. – Bernama