Kerajaan mahu 70 peratus daripada masa pengajian bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) memberi penekanan kepada aspek praktikal sebagai satu daripada usaha untuk menambah baik kebolehpasaran pelajar dalam bidang itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu telah dicadangkan melalui Majlis TVET Kebangsaan.
“Kami telah menyarankan agar hanya 30 peratus (masa) peserta TVET berada dalam kelas manakala 70 peratus berada di bengkel, makmal atau berada di tempat kerja supaya mereka dapat menimba pengetahuan. Selain (melalui pendekatan sedemikian), membolehkan mereka mendapat pendedahan di peringkat awal.
“Maknanya, selepas tamat kursus, mereka mempunyai latar belakang yang kuat dalam bidang tertentu, maka dengan itu kebolehpasaran lulusan TVET dapat dipertingkatkan daripada kadar 98.5 peratus kepada sekurang-kurangnya 99.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran MyNext TVET dan Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama (MOC) Antara Kerajaan dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta di pekarangan Stadium Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan, berkata dalam usaha memperkasa pendidikan TVET, beberapa bidang baharu turut diperkenalkan.
“Antara bidang baharu yang diperkenalkan adalah kenderaan elektronik, teknologi kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan aeroangkasa dan telekomunikasi.
“Ketika ini kita berada di tahap 5G dan waktu terdekat akan mencapai tahap 5.5G. (Dengan perkembangan ini), memerlukan kita menyediakan tenaga mahir daripada TVET,” katanya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan, Majlis TVET Negara termasuk Sekretariat TVET Negara telah diaktifkan sepenuhnya.
Beliau memberitahu, Dasar TVET Negara dijangka dilancarkan Jun 2024 dengan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk tujuan kelulusan.
“Apa yang penting ia bukan satu dasar baru tetapi penyelarasan aktiviti pendidikan TVET di antara 12 kementerian dan penyelarasan membabitkan 1,344 institusi TVET. Bagi tujuan itu, pihak kerajaan dan swasta di seluruh negara perlu berkolaborasi,” katanya.
Menyentuh mengenai inisiatif terbaharu kerajaan melalui MyNext TVET, beliau berkata program itu berperanan sebagai kerangka digital berpusat untuk penyusunan inisiatif TVET, selain menawarkan penyelesaian yang berintegrasi untuk analisis dan pengurusan bakat.
Katanya, pembangunan inisiatif itu penting dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET, memperkukuh penawaran program di institusi TVET dan membantu majikan mengenal pasti bakat bersesuaian serta menepati keperluan.
“MyNext TVET adalah satu program untuk menterjemahkan visi alam pekerjaan dalam bidang baharu di mana TVET menjadi pemangkin utama bagi menyediakan kursus atau pendidikan TVET ini kepada bakal tenaga kerja di negara kita,” katanya.-Bh Online