Kerajaan akan memberi penekanan kepada usaha bagi menangani kebergantungan kepada pekerja asing mulai tahun depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata ia tumpuan tambahan kerajaan selain pelaksanaan dasar gaji progresif, yang akan dilaksanakan dan menjadi fokus kementerian itu pada tahun 2024.
“Sebahagian besar keputusan struktur telah dibuat pada 2023. Pada 2024, keputusan struktur yang paling besar dan akan diberikan tumpuan adalah reformasi sektor pekerja.
“Ini terutama untuk membangunkan garis masa dan meletakkan kesemua sistem (yang dibangunkan) di tempatnya bagi membolehkan kita mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya pada Sembang Santai Ekonomi sempena Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di Stadium Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Rafizi mengakui, pelaksanaannya tentulah tidak mudah dan mengambil masa, bahkan kementerian itu melihat keperluan untuk membangunkan sistem sokongan yang menyeluruh membabitkan semua pemegang taruh terutama di pihak majikan bagi merealisasikannya.
“Jadi ini adalah (pemberitahuan awal) kepada majikan di luar sana. Saya tak yakin dengan satu arahan perkara ini akan berlaku. Apa yang perlu adalah untuk membangunkan sistem sokongan supaya melaluinya kita boleh memulakannya (reformasi).
“Semua reformasi ini dibuat berdasarkan bukti penilaian dan kajian yang betul-betul adil dan lengkap. Kita ambil kira untuk mengurangkan seberapa banyak risiko pelaksanaan dan meminimumkan cabaran yang bakal didepani.
Maknanya, kita sekarang mahu ia terus bergerak ke depan dan seterusnya (harapan kita) supaya kesemua ekosistem akan turut serta dalam reformasi ini,” katanya.
Sementara itu, ketika menyentuh isu dasar gaji progresif yang mungkin akan memberi impak negatif kepada majikan bagi sektor mikro, kecil dan sederhana Rafizi berkata, kementerian itu akan mengambil kira kesemua isu dihadapi golongan itu.
“Kita tahu lebih 80 peratus majikan adalah dalam kalangan majikan perusahaan mikro. Kalau kita paksa (naikkan gaji pekerja), kemungkinan pekerja ini akan dibuang dan kemudiannya masuk dalam sektor informal. Malah, ada kemungkinan syarikat kecil ini akan gulung tikar.
“Jadi, bila dasar gaji progresif ini dilaksanakan, kita akan selesaikan semua masalah yang dihadapi mereka terlebih dahulu.
“Disebabkan itu, maka 2024 ini, kita mulakan dengan 1,000 syarikat terlebih dahulu sebagai projek perintis, untuk memastikan peningkatan secara mampan dan konsisten dari tahun ke tahun,” katanya.-BH Online