Tindakan Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan tidak melanggar peruntukan dalam Akta Antilompat Parti.
Bagaimanapun, parti politik berhak dan mempunyai kebebasan mengenakan tindakan disiplin kepada ahlinya yang berbuat demikian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan tindakan sokongan itu bukan bersifat rasuah kerana kerajaan sudah terbentuk manakala pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibuat dengan sokongan 149 Ahli Parlimen.
“Ketika perbincangan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas, kita bincang mengenai mereka yang memberi sokongan tetapi tidak lompat.
“Adakah ia dikira sebagai lompat parti? Keputusan ketika itu adalah mereka dianggap melompat parti jika betul-betul tinggalkan parti.
“Hari ini (Ahli Parlimen pembangkang) mereka mengatakan tidak meninggalkan parti, hanya beri sokongan, namun parti berhak melakukan tindakan disiplin jika mereka nak kerana itu antara dia dan parti dia.
“Mereka kekal sebagai ahli parti namun tertakluk kepada parti kala nak membuat tindakan dan sebagainya.
“Apa yang kita lihat di sini ialah, dia bukan lompat parti dan dia beri sokongan dalam keadaan kerajaan sudah terbentuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai panel program bual bicara ‘Suara Anak MADANI’ yang membincangkan mengenai dasar serta isu hangat dengan tetamu jemputan berlatar belakangkan dunia politik dan pentadbiran kerajaan melalui platform media sosial.
Sesi dihoskan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dengan episod pertama membincangkan mengenai topik ‘Apa Cerita Setahun Kerajaan Perpaduan MADANI?’
Selain Azalina, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, turut diundang sebagai panel bagi episod pertama itu.
Sebelum ini, lima wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) khasnya BERSATU, kini memihak kepada Kerajaan Perpaduan termasuk yang terbaharu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, berkuat kuasa Oktober tahun lalu.
Azalina berkata, tidak timbul isu Kerajaan Perpaduan ‘melarikan’ Ahli Parlimen pembangkang, menggertak atau merasuah kerana melalui pindaan Perlembagaan itu, ia terpakai apabila mereka meninggalkan parti ditandingi ketika pilihan raya.
Tegasnya, lima Ahli Parlimen pembangkang hanya menyatakan sokongan tanpa meninggalkan parti masing-masing.
“Kalau sebab nak membentuk kerajaan dan nak bagi Fahmi (contoh) jadi Perdana Menteri tetapi Fahmi tak cukup nombor, nak jadi PM kena ada 112 (sokongan Ahli Parlimen).
“Fahmi kemudiannya menjanjikan bulan, bintang dan matahari sebab nak jadi Perdana Menteri dan beliau tidak cukup sokongan dan memerlukan lima lagi sokongan Ahli Parlimen… ini orang boleh kata rasuah.
“Tetapi kalau Perdana Menteri sudah ada dengan sokongan 149, lagi lima (Ahli Parlimen) itu untuk apa? Mereka beri sokongan semua dasar yang membawa kepada perpaduan dan sebagai balasan, mahu kerajaan melihat sebagai parti pembangkang, saya berkemampuan mendapat sokongan kerajaan,” katanya.
Menyentuh peruntukan, Azalina berkata, menjadi lumrah bagi pembangkang tidak mendapat kelebihan itu namun kerajaan kali ini tetap memberi peluang Ahli Parlimen pembangkang berunding.
“Dulu masa saya jadi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kami tidak dapat peruntukan dan masuk ke premis kerajaan. Macam-macam tak dapat.
“Tetapi sekarang ini peluang itu ada, sebab Perdana Menteri berucap di Parlimen, beliau cakap boleh berunding dengan Timbalan Perdana Menteri kedua (Datuk Seri Fadilah Yusof) untuk berbincang,” katanya.-BH Online