Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menafikan spekulasi mengenai tahap kesihatannya merosot sehingga mendorongnya untuk melepaskan jawatan.
Ahmad Zahid berkata kesihatannya kini semakin baik selepas menjalani pembedahan akibat penyakit prostat.
“Saya sendiri pun tak tahu yang saya akan melakukan perkara itu (spekulasi meletak jawatan).
“Saya memang ada jalani prosedur pembedahan prostat, semua orang laki-laki ada prostat, yang di depan ini (wartawan) mungkin ada.
“Alhamdulillah saya sihat atas doa semua termasuk orang yang mendoakan agar saya melakukan sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut penyakit berkaitan prostat yang dihidapinya.
Dia berkata demikian selepas ditanya wartawan mengenai spekulasi akan meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri selepas disahkan menghidap kanser.
Sebelum ini timbul khabar angin bahawa timbalan perdana menteri itu menghidap kanser prostat.
Sebelum ini pelbagai spekulasi berlegar di media sosial berkait tahap kesihatan presiden Umno itu.
Malah, ada spekulasi yang mendakwa Ahmad Zahid menghidap sakit kanser tahap empat dan akan melepaskan jawatan dipegangnya.
Pada 18 Nov lalu, anak sulung Timbalan Perdana Menteri Nurulhidayah mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani prosedur pembedahan dua hari sebelum itu.
Dalam hantaran dimuat naik di Instagram, Nurulhidayah yang lebih mesra disapa sebagai Kak Long itu berkata dia sangat menghargai segala keprihatinan dan doa daripada orang ramai mengenai kesihatan bapanya.
Pada 1 Dis lalu, Ahmad Zahid kembali bertugas serta menghadiri mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, selepas tempoh berehat setelah menjalani pembedahan.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dilihat hadir dalam bilik mesyuarat dalam keadaan ceria ketika membuat pendaftaran Identiti Digital Nasional atau Digital ID pada jam 9 pagi.