Barisan Nasional (BN) mengakui berhadapan laluan kemenangan yang tidak mudah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, namun percaya pengundi bijak menilai yang terbaik untuk kesejahteraan kawasan parlimen berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRK Kemaman bukanlah semudah seperti yang diinginkan walaupun jelas terbukti wujud perbuatan rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Justeru, beliau menasihatkan jentera BN pada PRK Kemaman berkempen secara sihat serta berhemah.
“Janganlah kita terikut cara mereka yang sarat dengan caci maki dan fitnah. InsyaAllah BN mampu kembali mendominasi dan kembali menjadikan Kemaman ‘biru ori’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU15.
Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman Terengganu pada 2 Disember ini.
Pada penamaan calon hari ini, BN mempertaruhkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala PAS meletakkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, sudah sampai masanya rakyat memilih wakil yang dapat berkhidmat bukannya memilih pakatan parti yang asyik dengan percaturan politik ‘dah cukup jumlah’ yang tidak henti-henti.
“BN mengambil tanggungjawab dan sebulat suara memilih seorang calon yang mempunyai pengalaman melindungi kesejahteraan rakyat dan menjadi panglima kepada ribuan anggota untuk membela keselamatan rakyat.
“Malah, calon yang ditawarkan ini amat memahami sejarah Kemaman, kerana beliau membesar bersama keluarga tercinta dan telah menabur jasa di daerah Kemaman ini.
“Saya percaya dengan kekuatan personaliti yang ada pada calon dan kukuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, pastinya kemenangan Raja Mohamed Affandi nanti akan memangkin ekonomi dan kemakmuran Parlimen ini,” katanya.
Beliau berkata, perlu diakui, Terengganu memerlukan seorang pemimpin yang fokus membantu mengangkat taraf ekonomi tempatan dan memikirkan kelangsungan pembangunan negeri bukan pemimpin yang menyimpan hasrat hati untuk menambah jawatan lagi.
“Biarlah wakil yang mewakili rakyat Kemaman ini dapat fokus mentadbir Parlimen dan dapat berhubung terus dengan Kerajaan Perpaduan untuk urusan kemajuan yang lebih mudah dan tersusun rapi,” katanya.-BH Online