Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bapa kepada rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza, Haron Hamim menitiskan air mata gembira sebaik melihat kelibat anaknya, Nurul Ain di ruang kenamaan di Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketika ditemui pemberita, Haron, 65, memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana menjadi pemudah cara untuk membawa pulang anaknya ke Malaysia.

Foto: BH Online

Beliau berkata, kali terakhir bertemu dengan anak sulungnya itu pada tahun lalu dan hanya mengetahui keadaan anaknya melalui media sosial.

“Mula-mula itu rasa takut apabila ada peperangan dan begitu juga dengan perkataan ‘genocide’ yang akan ‘menyapu habis’ semua umat Palestin dekat sana tetapi apabila melihat dia (Nurul Ain) memuat naik video membuat kerja amal di sana, sejuk hati saya sebagai seorang ayah.

“Dapat di lihat wajah dia dalam video yang begitu kuat, kalau dia kuat kami sebagai ibu bapa kena lebih kuat supaya semangat dia tidak patah di sana.

“Dia ada cakap inilah peluang dia untuk berbakti dalam Islam iaitu jihad tetapi jika diberi peluang, dia mahu keluar, namun jika suami dia tidak dapat (keluar) maka dia akan tinggal di Gaza,” katanya kepada pemberita ketika ditemui KLIA, di sini, hari ini.

Terdahulu, Nurul Ain Haron bersama suaminya warga Palestin, Mohamed AM Shaat tiba di KLIA pada jam 8.55 malam dengan penerbangan Malaysia (MAS) dari Kaherah.

Ketibaan Nurul Ain dan suaminya disambut oleh ahli keluarganya termasuk kedua ibu bapanya, adik perempuannya, pegawai dari Kementerian Luar Negara (KLN) dan Wisma Putra.

Pada 12 November lalu, Nurul Ain berjaya dibawa keluar dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah pada jam 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan sejurus selepas Nurul Ain dan suami tiba di Lintasan Sempadan Rafah, beliau dihubungi melalui panggilan video oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk bertanya khabar.

Evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, semasa lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Oktober lalu, serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.-Berita Harian Online