Dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Mohamed Sanusi Md Nor bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merekacipta nama ‘Kerajaan Perpaduan’ untuk kerajaan ini, bukan dari Agong diserang oleh orang ramai.
Bagi mereka, Sanusi terlalu angkuh dan penipu sehingga sanggup berbohong semata-mata untuk menjadi popular di kalangan penyokongnya.
Ini kerana, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sendiri yang mengumumkan bahawa Yang Dipertuan Agong mencadangkan PN bergabung dengan Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan perpaduan.
Namun, kata Mahiaddin dalam sidang media selepas bertemu dengan Yang Dipertuan Agong November lalu, PN menolak cadangan itu kerana beranggapan mereka boleh membentuk kerajaan sendiri.
Ekoran itu, kini tular klip video yang memaparkan bagaimana angkuhnya Sanusi membuat dakwaan bahawa nama kerajaan perpaduan tidak pernah disebut oleh Yang Dipertuan Agong.
Klip video yang bertajuk ‘Betul ka Agong tak cakap untuk tubuh kerajaan perpaduan’ itu kini tular di kalangan pengguna media sosial.
Dalam video itu, melalui ceramahnya Sanusi mendakwa Anwar menggunakan titah diraja habis-habisan walaupun orang lain tak dengar.
“Tuan-tuan dengar tak kata Agong suruh tubuh kerajaan perpaduan. Tuan-tuan dengar tak. Takda sapa di dunia ni dengar, dia seorang saja. Takda sapa dengar,” dakwa Sanusi dalam ceramah beliau di Selayang baru-baru ini.
Menurut Sanusi, tidak ada mana-mana media termasuk TV, surat khabar atau video yang memaparkan Yang Dipertuan Agong mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.
“Takda sapa yang dengar, Anwar Ibrahim seorang saja yang dengar dan satu Malaysia percaya kat dia,” kata Sanusi.
Ekoran itu, klip video berkenaan menayangkan kenyataan media Mahiaddin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas bertemu dengan Yang Dipertuan Agong.
“Selepas dikatakan tidak ada satupun yang mempunyai bilangan yang mencukupi, Tuanku mencadangkan supaya kita bekerjasama dengan PH Pakatan Harapan untuk membentuk Unity Government atau kerajaan perpaduan,” kata Mahiaddin sebagaimana yang dipetik oleh klip video berkenaan.
Klip video itu juga menyiarkan ucapan Yang Dipertuan Agong ketika merasmikan sidang Parlimen yang pertama untuk penggal ini.
“Sekalung tahniah buat Yang Amat Berhormat Anwar bin Ibrahim, ahli parlimen Tambun yang telah dilantik oleh beta sebagai perdana menteri Malaysia yang ke 10 serta seluruh barisan jamaah menteri Kerajaan Perpaduan,” kata Baginda.