Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DAP bersetuju dengan pandangan supaya undang-undang berkaitan lompat parti diteliti semula berikutan terdapat kelompangan dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata namun langkah yang sepatutnya dibuat ialah parti sendiri perlu meminda perlembagaan masing-masing.

“Saya masih ingat hujah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak bersetuju dengan cadangan seseorang Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti (kerana memberi sokongan kepada pihak lawan) perlu mengosongkan kerusinya kerana menganggap ia tindakan tidak adil.

“Tetapi, DAP ketika itu sudah melihat ia (undang-undang lompat parti) ada kelemahan, sebab itu kita mengambil langkah dalaman dengan meminda perlembagaan parti sendiri untuk memastikan sekiranya seseorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak lagi menjadi ahli parti, dia perlu mengosongkan kerusi.

“Jadi hari ini apa yang mereka (BERSATU) bantah sebelum ini memakan diri kerana kalau empat orang itu (Ahli Parlimen yang beri sokongan kepada Perdana Menteri) dari DAP, sudah pasti mereka hilang kerusi dan perlu dibuat pilihan raya raya kecil,” katanya yang merujuk tindakan empat Ahli Parlimen BERSATU yang memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, sehingga membawa gesaan kepada menambah baik akta itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jumaat lalu, Muhyiddin Yassin menggesa undang-undang berkaitan lompat parti itu perlu diteliti semula kerana wujud banyak kelemahan.

Empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari BERSATU itu ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Terdahulu Loke yang juga Menteri Pengangkutan merasmikan program Women’s Safety in Transit and Transport Industry di Sunway Resort Hotel, di sini, hari ini.

Loke berkata, dalam pindaan perlembagaan parti, DAP memasukkan peruntukan jika seseorang Ahli Parlimen atau ADUN menyokong pihak lawan atau bajet tanpa arahan parti, mereka boleh dipecat daripada parti atau dilucutkan keahliannya.

“Tetapi ia ada prosesnya seperti mengeluarkan notis misalnya memberi notis kepada Speaker, jadi dalam keadaan itu, dia dianggap sebagai dilucutkan keahlian dan perlu mengosongkan kerusi.

“DAP adalah parti politik pertama (pada September lalu) yang meminda perlembagaan parti untuk memasukkan peruntukan itu bagi mengelakkan keadaan-keadaan seperti itu,” katanya.

Katanya, pindaan itu dilakukan sejurus selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan diluluskan di Parlimen dan pindaan itu dibawa dalam kongres khas kerana melihat ada kelompangan seperti ini.

“Justeru, cadangan saya BERSATU perlu membuat pindaan perlembagaan kalau mereka tidak mahu ahlinya bertindak membelakangkan parti,” katanya.-Berita Harian Online