Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneliti keperluan bagi menaikkan biasiswa pelajarnya selaras dengan keadaan semasa pada ketika ini. Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, menerusi lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke United Kingdom dan Jerman baru-baru ini, beliau telah mengarahkan agar pihaknya menilai perkara itu secara serius. Menurutnya, pelaksanaan tersebut seharusnya diteliti sebaiknnya berikutan dengan situasi ekonomi semasa dunia.

Menurutnya, meskipun keadaan ekonomi tidak menentu dengan kos sara hidup meningkat dan kejatuhan Ringgit, Mara akan tetap memperkasa pendidikan, yang juga sebahagian daripada tujuan penubuhan agensi itu.

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam lawatannya ke United Kingdom dan Jerman baru-baru ini juga sudah mengarahkan saya dan Mara untuk menilai perkara ini secara serius,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Outlet Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara Petronas (PUMP) di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, sebarang tambahan nilai biasiswa sama ada bagi mahasiswa dalam atau luar negara, sudah tentu mempunyai implikasi kewangan.

“Jadi ini semua harus dinilai semula dengan lebih teliti dan ia mempunyai kesan kewangan bukan kepada Mara sahaja, tetapi kepada kerajaan kerana peruntukkan itu datang daripada kantung negara,” katanya.

Mengenai program, Nasr Utara Automotif Sdn Bhd menjadi pusat servis kenderaan pertama di Perlis ditaja di bawah PUMP, yang merupakan komitmen Mara dan Petronas dalam membangunkan usahawan automotif Bumiputera yang berdaya saing.-Harian Metro/MP