Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang sudah tertubuh berdekad lamanya sentiasa meletakkan fokus dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar melalui Teras 3: Modal Insan Berkualiti menegaskan mengenai pembangunan modal insan yang berkualiti.

Pembangunan modal insan merupakan satu pelaburan yang penting dalam membangunkan negara-bangsa. Melalui pemantapan sistem pendidikan negara, ini mampu melahirkan modal insan yang berkualiti. Oleh itu, pendidikan awal kanak-kanak perlu diberikan perhatian yang sewajarnya kerana ini merupakan batu asas bagi pembentukan modal insan yang berkualiti.

Foto: FB Zahid Hanidi

Antara cabaran utama dalam pendidikan awal kanak-kanak adalah masalah keterhubungan, atau accessibility, bagi masyarakat luar bandar. Persis kata pepatah Melayu “Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya”.

Pepatah tersebut jelas menunjukan kepentingan pendidikan perlu dititipkan seawal usia bagi melahirkan insan yang berguna, berkualiti serta positif di setiap aspek perkembangan manusiawi tersebut. Dari situ, KEMAS melalui kementeriannya meletakkan keutamaan bagi membantu masyarakat, terutamanya yang berada di luar bandar.

Pada November 2015, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang kini dikenali sebagai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar. Salah satu teras transformasi adalah menjadikan Tabika KEMAS sebagai Tabika Berprestasi Tinggi sebagai pilihan utama para ibu bapa. Dalam usaha menjayakan teras ini, KEMAS telah mengambil dua langkah utama dalam rangka strategi pelaksanaannya.

Foto: FB Zahid Hanidi

Langkah pertama dalam pelaksanaannya adalah memberi nilai tambah kepada Kurikulum Standard Pra Sekolah Kebangsaan (KSPK) yang sedia ada dalam memastikan kualiti keberhasilan kanak-kanak mampu diperkasakan.

Fokus teras ini bukan sahaja mengenai pengukuhan kemahiran kanak-kanak akan tetapi akan membantu dalam pembinaan keterampilan modal insan dalam persiapan menangani cabaran semasa dan akan datang.

Bertepatan dengan pembawaan ‘karamah insaniah’ yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, KEMAS turut memperkenal modul Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) sebagai salah satu dari 3 modul utama yang diperkenalkan.

Foto: FB Zahid Hamidi

Perkara-perkara asas keagamaan seperti ibadah dan pengajian al-Quran diberikan penekanan dan melibatkan sebanyak 250,000 kanak-kanak termasuk pengambilan baharu. Penambahbaikan modul PPI ini turut merangkumi penstrukturan semula kandungan modul secara keseluruhan yang dilihat sesuai dengan tahap kanak-kanak yang berusia lima dan enam tahun khususnya.

Dalam usaha terkini bagi mengukuhkan inisiatif ini, KEMAS telah mewujudkan kerjasama dengan Yayasan Pintar, Yayasan Pahang serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Memetik kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap perasmian Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan ke-18 2023, “Kita melakukan transformasi untuk anak-anak kita, didedahkan dalam soal pengajian Al-Quran, ibadah Solat. Supaya daripada peringkat awal soal akidah dapat ditanamkan di jiwa mereka.

Hasrat besar Kementerian melalui program ini adalah untuk membentuk satu lapisan generasi masa hadapan, khususnya anak-anak di Tabika KEMAS, yang mampu menerima penghayatan dan mengamalkan ajaran Islam dengan tepat mengikut syariat yang telah ditetapkan dalam rutin kehidupan seharian.

Pelaksanaan program ini merupakan salah satu inisiatif dalam melahirkan insan yang mulia seperti yang digagaskan oleh Kerajaan bersesuaian dengan syiar Islam. Program PraTahfiz KEMAS yang dilaksanakan dengan sasaran untuk melahirkan 100,000 huffaz cilik menjelang 2026 melalui keputusan kerajaan telah meluluskan RM 586 juta dalam Belanjawan 2024 bagi tujuan naik taraf KEMAS serta pembinaan tabika dan taska baharu. – Media Perpaduan