Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ini kerana cadangan itu selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengangkat pentaksiran serta kekuatan sistem pendidikan secara holistik dan bukan hanya berasaskan peperiksaan.

KPM akan memberi input kepada Sarawak mengenai cadangan merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk murid Tahun Enam di semua sekolah kerajaan di Sarawak.

“Kita sentiasa menganggap Sarawak antara negeri contoh yang sentiasa memberi tumpuan kepada pendidikan. Kalau kerangka yang mahu dibangunkan itu bertujuan memperkukuh pentaksiran, pastinya kita akan sokong kerana ia adalah hala tuju KPM iaitu pembangunan holistik (melalui) pentaksiran bukannya peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Minggu Solidariti Palestin di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Kuala Lumpur.

Ditanya sama ada KPM pertimbangkan cadangan itu untuk diperluaskan ke seluruh negeri, Fadhlina berkata pandangan itu perlu mendapat input KPM terlebih dahulu kerana ia baru dibangkitkan.

“Kita akan terus berbincang bagaimana ia boleh diselaraskan, mungkin ia hanya perlu diperkukuhkan sahaja di peringkat sekolah dan negeri Sarawak…KPM akan tengok pengukuhan dan kerangkanya dan input pasti akan datang daripada kementerian.

“Jangan risau, insya-Allah dengan adanya MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan perbincangan jawatankuasa, kita sentiasa ada panduan untuk pelaksanaan apa sahaja program pengukuhan di peringkat negeri,” katanya. – Bernama