Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir Adbel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya, Kaherah hari ini.
Anwar memaklumkan pertemuan beliau dengan Presiden Mesir Al-Sisi menyentuh pelbagai perkara dalam usaha merapatkan hubungan persahabatan kedua-dua negara.
“Perbincangan turut menyentuh tentunya melibatkan warga Palestin yang terus dirampas hak mereka dan terus dibantai tanpa nohtah. Saya sanjung usaha Mesir dalam memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan melalui sempadan Rafah-Gaza dan memastikan ia sampai terus kepada mereka” katanya dihantaran laman Instagram beliau.
Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan bahawa kedua-dua negara mesti memainkan peranan yang lebih dengan tegas dalam memastikan keganasan dihentikan dan nyawa diselamatkan serta keadilan segajat mesti ditegakkan.
Beliau dalam rangka lawatan rasmi selama 2 hari di Kaherah sejak semalam.
Anwar juga malam tadi telah bertemu dengan mahasiswa yang menuntut disini dan juga rakyat Malaysia di Kaherah sejurus tiba dari Istanbul.
“Saya mengambil peluang dalam mencerakinkan usaha dan tumpuan kerajaan dalam memulihkan ekonomi Malaysia serta langkah-langkah yang telah diambil. Saya tegaskan Malaysia mesti kebah dari penyakit rasuah dan kegagalan menegakkan tatakelola, dan tatanan ini mesti dilonjakkan ke tahap yang lebih baik.” Katanya di laman Facebook.
Beliau juga turut menjawab beberapa soalan daripada hadirin, “Saya turut menjawab mengenai kedudukan ringgit yang kini tercabar parah akibat tindakan Federal Reserve Amerika Syarikat yang secara agresif meningkatkan kadar faedah yang turut mengesankan matawang renmimbi China dan yen Jepun”.
“Tentunya kesannya tidak akan segera terjelma. Namun, langkah permulaan yang tegas telah diambil yakni Malaysia mesti bergerak ke arah pendolarisasi, dan Malaysia berjaya dalam rundingan bersama China, Indonesia dan Thailand untuk menggunakan matawang tempatan dalam urusan perdagangan agar kedudukan dan kekuatan ringgit dapat kembali kuat dan mengukuh.”
Anwar juga berkata, Presiden Mesir Al-Sisi akan mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia pada awal tahun hadapan, Perdana Menteri dijangka berlepas pulang ke tanah air selepas bertemu Presiden Mesir. Media Perpaduan