Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia bersedia bekerjasama dengan Turkiye serta negara-negara sehaluan yang lain untuk mencari titik noktah penindasan Zionis Israel terhadap warga Palestin berikutan sehingga kini belum menemukan jalan penyelesaian.

Anwar bersama Edrogan di Turkiye

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak berganjak daripada pendirian tegasnya dalam mengutuk sikap hipokrit negara-negara barat melibatkan isu Palestin. 

Katanya, perbincangan beliau yang berlangsung hampir dua jam bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan di Istanbul semalam memberi tumpuan besar kepada permasalahan kemanusiaan warga Palestin. 

“Kami menyentuh secara panjang lebar dan terperinci mengenai hak warga Gaza yang terus dinafikan oleh Israel. 

“Babak ini tentunya mengesankan tidak hanya Palestin, tetapi juga rantau Asia Barat dan dunia tatkala perkembangan di sana tidak semakin baik, malah, memburuk dengan tindakan rakus Israel. Justeru, aspek keselamatan dan pertahanan turut disentuh dan diberi penekanan dan dibincangkan,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan bersama Recep Tayyib di Istana Presiden Turkiye sebagai acara terakhir lawatan kerja ke negara itu.

Sebelum itu, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Turkiye, Mehmet Simsek di samping Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dan Pengarah Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Turkiye, Ibrahim Kalin dalam perjumpaan berasingan.

Perdana Menteri kemudian akan berlepas ke Mesir dan dijadualkan bertemu Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia menyambut baik pembukaan koridor kemanusiaan di pintu masuk Rafah-Semenanjung Gaza sejak semalam. 

Mengulas pertemuan bersama Recep Tayyib, Perdana Menteri berkata, kedua-dua sependapat terhadap usaha memperkukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk dalam ekosistem pertahanan.

Recep Tayyib merupakan pemimpin negara kedua ditemui Anwar dalam lawatan kerja beliau ke luar negara sejak Khamis lalu selepas Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed Salman. 

Sebelum ini, Perdana Menteri tiba di Riyadh sejak Khamis lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC). 

Di Riyadh, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Dr. Mohammad Abdul Karim Al-Issa untuk berbincang berkisar isu serangan Israel terhadap Palestin.-Utusan