Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa bekalan makanan di Semenanjung Gaza kini hanya mampu bertahan untuk tempoh empat atau lima hari lagi di kedai.

Katanya, keadaan semakin meruncing apabila bekalan makanan semakin berkurangan di gudang.

Menurut Jurucakap WFP Timur Tengah, Abeer Etefa, keadaan di Gaza semakin buruk dari semasa ke semasa.

“Stok semasa komoditi makanan utama mencukupi untuk dua minggu sahaja dan itu di peringkat pemborong dan kedai yang ada di Bandar Gaza mengalami kesukaran menambah bekalan makanan.

Pejuang Hamas yang berpangkalan di Gaza memecah sempadan Israel pada 7 Oktober lalu, mengakibatkan lebih 1,400 orang awam terkorban.

Israel mendakwa sekurang-kurangnya 199 tebusan telah diambil oleh Hamas atau kumpulan lain ketika serbuan berkenaan.

Israel telah bertindak balas dengan serangan udara ke atas Gaza yang dikawal Hamas dengan mengerahkan puluhan ribu tentera ke sempadan sebagai persediaan untuk serangan darat dalam skala penuh.

Israel menuntut penduduk di utara Gaza berpindah ke selatan, dengan harapan untuk membersihkan kawasan orang awam sebagai persediaan untuk serangan darat.

Abeer Etefa berkata, daripada lima kilang tepung di Semenanjung Gaza, hanya satu yang beroperasi kerana bimbangkan keselamatan dan ketiadaan bahan api.

“Bekalan roti semakin berkurangan dan orang ramai beratur berjam-jam untuk mendapatkan roti.

“Hanya lima kedai roti daripada 23 kedai di Gaza yang berurusan dengan WFP masih beroperasi dan bekalan makanan kami di Gaza hampir habis,” katanya. -AFP