Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KERAJAAN masih yakin dasar pengimport utama beras yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah kaedah terbaik dalam menangani cabaran semasa dan mendatang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dasar berkenaan adalah mekanisme utama yang memberikan keupayaan kepada negara untuk menghadapi cabaran ketidakstabilan harga beras antarabangsa.

Justeru, beliau berkata, kerajaan belum berhasrat untuk menghapuskan monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di negara ini.

“Ini kerana dasar pengimport utama adalah mekanisme ‘gate keeping’ yang berfungsi sebagai benteng bagi melindungi industri padi dan beras tempatan daripada terdedah kepada ketidaktentuan kedudukan pasaran antarabangsa.

“Berdasarkan perkara ini, sebarang keputusan mengenai perubahan dasar ini wajib mengambil kira kebajikan dan pendapatan pesawah, kestabilan dan jaminan bekalan makanan negara serta dasar semasa kementerian,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai adakah kementerian akan menghapuskan monopoli BERNAS dan membenarkan lebih banyak pengimport beras di negara ini.

Mohamad turut menegaskan, kenaikan harga Beras Putih Import (BPI) tidak ada kaitan dengan monopoli BERNAS.

Sebaliknya beliau berkata, kenaikan BPI adalah disebabkan harga pasaran antarabangsa bagi beras itu meningkat sebanyak 60 peratus pada akhir Ogos 2022.

Sehingga kini, sebanyak 19 negara membataskan eksport ke luar negara untuk memberi keutamaan kepada rakyat sendiri.

Katanya, India mengenakan sekatan eksport beras mulai Julai lalu, seterusnya memberi kesan kepada kenaikan harga beras putih global.

“Keadaan ini diburukkan lagi dengan kemerosotan kadar tukaran asing Ringgit Malaysia (RM), berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Kenaikan harga beras ini bukan saja berlaku di negara ini tetapi turut dirasai secara global,” katanya. -Media Perpaduan