KUALA LUMPUR: Semua universiti awam dan swasta diingatkan supaya memastikan majlis konvokesyen tidak dicemari hiburan berlebihan sehingga mengatasi tujuan dan makna sebenar acara akademik itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sebarang elemen hiburan dalam majlis berkenaan perlu diteliti dengan cermat agar bersesuaian dengan suasana akademik serta mengambil kira nilai, adab dan tradisi keilmuan institusi pendidikan tinggi.
“Hiburan yang keterlaluan, yang boleh mengalihkan perhatian daripada penghormatan terhadap ilmu, para graduan dan keluarga mereka, bukanlah sesuatu yang patut dinormalisasikan,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, pihak pengurusan universiti perlu memastikan garis panduan penganjuran majlis konvokesyen dipatuhi dengan sebaik-baiknya bagi memelihara kemuliaan acara berkenaan.
Zambry berkata, kegembiraan graduan dan keluarga meraikan kejayaan sememangnya wajar diraikan, namun perlu dizahirkan dalam bentuk yang bersesuaian dengan kemuliaan majlis.
“Universiti bukan sekadar tempat melahirkan graduan yang memiliki kelayakan akademik. Universiti juga merupakan institusi yang membentuk akhlak, adab dan keperibadian manusia,” katanya.
Beliau berkata, setiap acara anjuran universiti, termasuk majlis konvokesyen, sewajarnya mencerminkan nilai berkenaan agar terus menjadi lambang kecemerlangan akademik, kematangan intelektual dan ketinggian adab dalam masyarakat.
Zambry berkata, konvokesyen bukan sekadar upacara penyampaian ijazah, tetapi turut melambangkan kejayaan menempuh perjalanan ilmu, pengorbanan keluarga serta kesungguhan pendidik membentuk insan berilmu dan berakhlak.
Semalam, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memohon maaf berhubung persembahan segmen hiburan ala konsert semasa majlis konvokesyen ke-23 universiti itu baru-baru ini, yang menerima teguran masyarakat serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
UniKL dalam kenyataan memaklumkan pihaknya bertanggungjawab sepenuhnya atas perkara itu dan akan membentangkan langkah penambahbaikan kepada MARA dalam masa terdekat. – BERNAMA
