Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUCHONG: Sistem amaran awal MySiren berpotensi digunakan bagi membantu polis mengesan individu hilang, selain membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan amaran kecemasan yang disasarkan kepada penduduk di kawasan kejiranan tertentu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) antara agensi terawal yang akan menggunakan sistem berkenaan, namun kerajaan terbuka untuk memperluaskan penggunaannya kepada agensi lain.

Usaha untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dimulakan.

Katanya, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, turut menghadiri pelancaran MySiren pada 23 November lalu.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengeluarkan pemberitahuan sama sekiranya berlaku banjir kilat atau situasi yang memerlukan penduduk setempat menerima maklumat tepat dengan segera,” katanya selepas sesi ujian MySiren di Markas SMART di Puchong, hari ini.

Fahmi berkata, sistem itu juga boleh digunakan untuk mengeluarkan amaran berkaitan kejadian tanah runtuh dan gempa bumi.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga akan diberikan akses kepada sistem berkenaan pada masa akan datang bagi memudahkan penyampaian pemberitahuan kecemasan di seluruh negara apabila diperlukan.

Sistem beroperasi 24 jam

Manfaat paling segera MySiren adalah dalam menangani bencana sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), dengan sistem itu beroperasi 24 jam sehari dan menyokong penggunaan pelbagai bahasa, walaupun amaran yang dikeluarkan hari ini menggunakan dua bahasa. 

“Sebagai contoh, jika banjir melimpah atau paras air sungai melebihi tahap bahaya pada waktu malam, amaran boleh disampaikan kepada penduduk yang tinggal di sepanjang sungai. Sebab itu bunyi amaran berkenaan sangat kuat.

“Jika menerima mesej sedemikian pada tengah malam, pertama sekali jangan panik dan kedua, patuhi arahan amaran yang dikeluarkan,” katanya.

Fahmi turut menggesa rakyat supaya sentiasa mengemas kini perisian telefon pintar masing-masing bagi memastikan mereka dapat menerima amaran MySiren, sambil menegaskan pengguna tidak perlu memuat turun sebarang aplikasi untuk menggunakan sistem itu.

Kemas kini perisian juga membolehkan pengguna memasang tampalan keselamatan yang disediakan oleh sistem operasi seperti iOS dan Android bagi menangani kelemahan keselamatan yang boleh dieksploitasi penggodam serta penjenayah.

MySiren sukar digodam

Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan sistem MySiren digodam atau disalahgunakan, Fahmi berkata akses kepada sistem itu dihadkan secara ketat kepada pihak tertentu, termasuk NADMA dan MCMC.

Protokol keselamatan sistem berkenaan akan dikaji dan dikemas kini secara berkala bagi memastikan ia dilindungi daripada ancaman penggodaman.

Ketika pelancaran MySiren pada 23 November lalu, Fahmi berkata MCMC akan terus bertanggungjawab mengendalikan sistem berkenaan, manakala agensi seperti PDRM, NADMA dan pihak berkuasa tempatan turut diberikan akses untuk menggunakannya.

Pembangunan MySiren bermula pada 2025 susulan pengumuman inisiatif itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, dengan kos keseluruhan sebanyak RM200 juta.

Sistem itu berupaya menyalurkan maklumat atau amaran kepada semua peranti dengan lebih pantas dan serentak berbanding kaedah penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS).

Melalui kaedah SMS, mesej perlu melalui sistem giliran yang dikendalikan syarikat telekomunikasi sebelum sampai kepada penerima.

Bagaimanapun, MySiren memintas proses berkenaan dengan menghantar maklumat terus kepada pemancar, yang mana semua menara telekomunikasi boleh berfungsi sebagai pemancar bagi menyampaikan mesej amaran bencana.

Justeru, semua pengguna dalam kawasan liputan menara telekomunikasi atau pemancar yang aktif akan menerima maklumat sama pada masa serentak.-BH Online