KUALA NERUS: Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) masih akan ditambah baik bagi membolehkan isyarat didengar lebih jelas semua rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata MySiren ialah inisiatif Kementerian Komunikasi bagi memastikan penyampaian amaran kecemasan kepada orang ramai dapat dilakukan dengan lebih pantas.
Katanya, kaedah penyampaian amaran itu perlu ditambah baik bagi memastikan isyarat dapat didengar dengan lebih jelas oleh semua lapisan masyarakat.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil Jumaat ini bagi mencadangkan supaya sistem amaran itu dapat didengar lebih jelas,” katanya selepas merasmikan Majlis Sama’ Hadis Ijtimak Pondok Nusantara, di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Fadzli Adam dan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof Sheikh Dr Ali Muhyeldin Al Qaradaghi.
MySiren mula beroperasi pada 19 November lalu sebagai platform penyampaian amaran kecemasan yang lebih pantas berbanding khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sistem itu menggunakan menara telekomunikasi sebagai pemancar bagi menyalurkan amaran kepada peranti mudah alih dalam kawasan liputan terjejas tanpa perlu melalui giliran penghantaran syarikat telekomunikasi.
Pada peringkat awal, MySiren memberi tumpuan kepada amaran bencana seperti banjir dan tanah runtuh, sebelum diperluas kepada kecemasan lain termasuk kebakaran dan kehilangan individu khususnya kanak-kanak.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut mengesahkan ada menerima pemakluman amaran berkenaan.
“Saya dapat isyarat amaran itu, tetapi saya kekal tenang kerana sudah bersiap siaga daripada awal,” katanya. -BH Online
