Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11,072 penjaja di 287 lokasi sekitar ibu negara bakal menikmati kemudahan perniagaan yang lebih baik, menerusi Program Lestari Niaga 2026 yang melibatkan peruntukan RM200 juta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif itu, bukan sekadar menaik taraf gerai sedia ada, sebaliknya bermatlamat mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih bersih, selamat dan teratur, merangkumi golongan peniaga kecil di tepi jalan.

“Ini bukan sekadar kerja membaiki gerai lama. Kita mahu penjaja dapat berniaga di tempat yang lebih bersih, selamat dan teratur termasuk penjaja tepi jalan yang selama ini berdepan pelbagai kekangan.

“Pada masa sama, laluan pejalan kaki perlu dikembalikan kepada orang ramai. Peniaga kecil juga bekerja keras mencari rezeki dan mereka berhak mendapat kemudahan yang baik serta layanan yang adil,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau turun memuat naik beberapa gambar menunjukkan tinjauan di Pasar Batu 2 ½ Jalan Ipoh yang siap dinaik taraf. -BERNAMA