Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAPAR: Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Barang Keperluan sepanjang musim monsun bergantung kepada keadaan semasa dengan keutamaan kerajaan memastikan penyaluran bekalan dan bantuan mencukupi di kawasan terjejas bencana.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan meneliti keperluan berdasarkan keadaan di lapangan, termasuk melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) pascabencana bagi membantu meringankan beban penduduk terjejas.

“Kadang-kadang pada musim monsun, isu harga barang bukanlah perkara utama kerana ada kawasan terjejas yang penduduknya langsung tidak dapat keluar membeli. Apa yang penting pada waktu itu adalah keutamaan untuk menyampaikan bekalan.

“Jadi kita lihat pada keadaan dan ada ketikanya selepas banjir kita buat PJRM pascabencana,” katanya. kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana: Radio Amatur Sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini, hari ini.

Armizan berkata, pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan dilaksanakan secara berterusan menerusi Jawatankuasa Penstabilan atau Pemantauan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Rakyat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Katanya, jawatankuasa itu bermesyuarat setiap dua bulan dengan penyertaan pelbagai agensi serta kementerian berkaitan bagi meneliti isu bekalan, termasuk gangguan akibat bencana.

Beliau berkata, persediaan kerajaan bukan hanya bersifat reaktif selepas bencana berlaku, sebaliknya turut mengambil kira ramalan awal dan langkah pencegahan bagi memastikan bekalan barangan keperluan tidak terputus.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memastikan bekalan yang mencukupi, begitu juga dalam konteks KPDN, kita mengenal pasti Pengurangan Risiko Bencana (DDR) dan pemborong terpilih daerah (DDW) di kawasan mempunyai risiko banjir tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN turut bersedia mengaktifkan kerjasama dengan kedai runcit, peruncit dan pemborong di kawasan berisiko bagi membolehkan mereka menyimpan stok tambahan barangan kawalan sebagai persediaan menghadapi bencana.

Beliau berkata, langkah itu akan diaktifkan apabila berlaku insiden bencana di mana-mana kawasan bagi memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi.

Katanya, selain bantuan kerajaan dalam bentuk tunai dan pembaikan rumah, program jualan murah turut dilaksanakan di kawasan terjejas bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup penduduk pascabencana. -BH Online