Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

TEMERLOH: Kerajaan Pahang tetap menghargai sumbangan penjawat awam Persekutuan di negeri itu walaupun tiada Bantuan Khas Kewangan (BKK) diumumkan khusus untuk kumpulan berkenaan dalam Belanjawan Pahang 2027.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif lain menerusi Aspirasi Pahang1st sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan terbabit.

“Kita ada bagi (insentif) dalam bentuk lain, macam cikgu kita bagi kain batik dan (menerusi) Aspirasi Pahang1st, banyak juga kerajaan negeri sediakan.

“Dalam hal ini, kita tidak mampu nak bagi semua kepada penjawat awam (Persekutuan), jadi kita bagi BKK kepada penjawat awam negeri sebab ini pun Belanjawan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pahang 1st: Tawan Baung Ekor Merah Fest di tapak Pasar Sehari Kuala Krau di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.

Wan Rosdy mengulas reaksi segelintir penjawat awam Persekutuan susulan pengumuman BKK kepada penjawat awam negeri dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2027, semalam.

Menerusi belanjawan itu, beliau mengumumkan pemberian BKK bersamaan dua bulan gaji dan bantuan khas Aidilfitri RM1,500 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam negeri.

Mengulas mengenai usaha membendung pembiakan ikan baung ekor merah, Wan Rosdy berkata, penganjuran program berkenaan antara langkah menghalang spesies asing itu daripada terus mengancam populasi ikan tempatan di Sungai Pahang.

Katanya, program memburu ikan berkenaan dilaksanakan serentak di tujuh lokasi seluruh negeri dengan peruntukan RM450,000 bagi mengurangkan populasinya. -BH Online