KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merekodkan sebanyak 10,452 semakan Daftar Kanak-Kanak (e-DKK) dan 531 permohonan anak pelihara menerusi Sistem Perkhidmatan Kanak-Kanak (Sistem ANAK) sejak Ogos 2025 hingga 17 November lalu.
KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sistem dibangunkan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak itu turut merekodkan 4,067 pengguna awam aktif dan 1,169 pengguna aktif Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK).
“Sistem ANAK ini adalah inisiatif pendigitalan strategik dibangunkan bagi memperkukuh pengurusan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak secara lebih cekap, selamat, bersepadu dan lebih sistematik.
“Kemudahan semakan maklumat berkaitan dengan pelaku kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pengurusan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) turut disediakan, selain mempercepat urusan semakan dan permohonan yang melibatkan sektor berkaitan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
Dibangunkan pada 2024 dan diguna pakai sepenuhnya pada tahun lepas, pembangunan platform digital komprehensif ini berlandaskan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], khususnya Seksyen 118 hingga Seksyen 120 selain menyokong agenda pendigitalan dan pengukuhan ekosistem keselamatan kanak-kanak yang digariskan dalam Halatuju KPWKM 2024.
Menurut kenyataan itu, fasa 1 Sistem ANAK telah beroperasi dengan modul asas merangkumi e-DKK, Pendaftaran OYLS, Permohonan Anak Pelihara, Semakan Pesalah Jenayah Seksual Kanak-Kanak dan Laporan Statistik.
“Sistem ini turut diintegrasikan dengan sistem e-Kehakiman dan MyIDENTITY bagi menyokong proses pengesahan maklumat yang lebih bersepadu dan efisien.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, usaha ini turut membantu memastikan setiap kanak-kanak dilindungi, dihargai dan diberi peluang untuk mencapai potensi terbaik mereka,” menurut KPWKM.
Sistem ANAK dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersempena dengan Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2026 di Pusat Sains Negara hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Bertemakan “Impian dan Hak Masa Depan Kami”, sambutan itu menjadi platform memperkasakan suara kanak-kanak, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap hak mereka dan menghargai peranan kanak-kanak sebagai aset penting negara.
Seiring dengan matlamat sambutan itu, pelancaran Sistem ANAK adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak melalui penggunaan teknologi dan data bagi menyokong proses membuat keputusan lebih tepat dan berkesan.
Kementerian itu juga akan terus memperkasakan Sistem ANAK sebagai pemangkin pendigitalan sektor perlindungan kanak-kanak, memperkukuh ekosistem keselamatan dan kebajikan mereka serta menyokong pembangunan dasar berasaskan data demi menjamin masa depan yang lebih selamat, inklusif dan sejahtera untuk semua kanak-kanak di Malaysia. -BH Online
