Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk muncul bukan sahaja sebagai destinasi pelaburan hijau, malah sebagai pembangun, pengeluar dan penyedia penyelesaian tenaga bersih serantau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata untuk mencapai matlamat itu, kerjasama antara kerajaan, industri, pelabur, ahli akademik dan komuniti tempatan perlu diperkukuhkan selain kekal terbuka kepada idea baharu.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, keupayaan negara menyediakan ekosistem tenaga berdaya saing serta mampan menjadi faktor utama dalam menarik pelaburan berimpak tinggi membabitkan sektor semikonduktor, pembuatan termaju, infrastruktur digital dan pusat data.

“Syarikat antarabangsa kini semakin mengambil kira akses kepada bekalan elektrik boleh dipercayai dan boleh diperbaharui sebelum membuat keputusan untuk bertapak atau mengembangkan operasi mereka.

“Justeru, kita mahu Malaysia diiktiraf bukan sekadar destinasi pelaburan hijau, sebaliknya sebagai pembangun dan penyedia penyelesaian tenaga bersih serantau bagi mencipta nilai berkekalan untuk negara,” katanya ketika merasmikan Ladang Solar Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) Gading Kencana di sini, hari ini.

Fadillah berkata, usaha memperkasa tenaga solar perlu bergerak seiring dengan transformasi keseluruhan ekosistem elektrik bagi menangani sifat penjanaan terpasang tenaga boleh baharu (TBB) berubah-ubah.

Katanya, kementeriannya memberi tumpuan kepada pelaburan pemodenan grid, pengurusan tenaga digital serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), selain memperkukuh infrastruktur penghantaran dan pengagihan.

“Matlamat kita bukan sekadar menjana lebih banyak elektrik hijau, tetapi membina sistem tenaga lebih bersih, berdaya tahan dan cekap pada kos berpatutan demi menyokong aspirasi ekonomi negara serta menjamin kesejahteraan generasi masa depan,” katanya.

Fadillah berkata, aspirasi kerajaan bukan sekadar meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor tenaga, sebaliknya melahirkan perusahaan yang mampan dari segi komersial, berkeupayaan teknologi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Katanya, kejayaan syarikat tempatan membangunkan ladang solar berskala besar membuktikan perusahaan Bumiputera mempunyai kepakaran teknikal, keazaman dan keupayaan profesional untuk meneroka industri strategik serta berintensifkan modal.

“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan Bumiputera bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai, daripada menyertai projek kepada membangunkannya, daripada menggunakan teknologi kepada memilikinya, serta daripada bersaing di pasaran domestik kepada membina kedudukan di peringkat antarabangsa.

“Pemerkasaan sebenar bukan sekadar membuka pintu peluang, sebaliknya membina keupayaan, keyakinan dan daya tahan untuk melangkah masuk melalui pintu itu serta mewujudkan peluang kepada orang lain,” katanya.

Mengenai projek berkenaan, Fadillah menyifatkan pelancaran ladang solar berkapasiti 43 Megawatt-peak (MWp) itu membuktikan peralihan tenaga negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) kini diterjemahkan melalui pelaburan sebenar ke arah sasaran 70 peratus kapasiti terpasang TBB menjelang 2050.

Katanya, kerjasama antara Gading Kencana dan Intel yang memeterai perjanjian selama 15 tahun bagi pembelian 53,000 Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) setiap tahun membuktikan komitmen kelestarian korporat mampu menyokong pertumbuhan pemaju tenaga tempatan.

“Kejayaan Gading Kencana membangunkan projek berskala utiliti ini turut menjadi contoh membanggakan terhadap keupayaan syarikat Bumiputera dan perusahaan tempatan bersaing dalam industri strategik, berintensifkan modal dan berteraskan teknologi,” katanya. -BH Online