Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dua pasukan petugas baharu diwujudkan bagi memperkukuh usaha mitigasi banjir di Wilayah Persekutuan menjelang Monsun Timur Laut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata inisiatif itu akan melengkapi usaha berterusan mengurangkan risiko banjir menerusi pengurusan tanah yang lebih baik dan kerjasama antara agensi.

Katanya, pasukan petugas itu ialah Pasukan Petugas Kawasan Lapang yang akan mengenal pasti dan mewartakan tanah bagi menyokong pembangunan Kuala Lumpur sebagai ‘bandar span’ (sponge city) serta Pasukan Petugas Mitigasi Banjir yang akan menyelaras usaha bersama Selangor.

“Kesiapsiagaan menghadapi banjir memerlukan tindakan secara bersepadu dan berkala. Ia bukannya kerja saat akhir hanya diambil apabila Monsun Timur Laut tiba.

“Semua usaha ini sudah dilaksanakan secara berterusan sejak tiga tahun lalu dan pada tahun ini kita mempergiatkan lagi langkah berkenaan melalui penubuhan dua pasukan petugas,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Wilayah Persekutuan) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan, Kolonel Mohd Rosman Abdullah; Pengarah Jabatan Imigresen WP Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau; Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur, Senior Asisten Kominisoner Ignatius Francis; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Sakeri Abdul Kadir dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kuala Lumpur, Mohamad Shukri Nawi.

Hannah berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan banjir terutama di kawasan panas.

“Pada masa sama, saya ingin meminta penduduk Wilayah Persekutuan supaya mengikuti akaun media sosial rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Wilayah Persekutuan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan anda mendapat maklumat yang tepat.

“Apabila terdapat sebarang amaran perlu dikeluarkan, kita akan menggunakan akaun rasmi seperti ini untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai” katanya.

Sementara itu, menyentuh berhubung langkah diambil DBKL untuk mengatasi masalah banjir, Fadlun berkata, pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan termasuk penyelenggaraan sistem perparitan secara berkala, penggunaan pam berkuasa tinggi di 10 lokasi rendah serta pembinaan kemudahan takungan bagi menguruskan lebihan air hujan.

Katanya, DBKL juga sudah menyiapkan sembilan kemudahan Takungan Air di Tapak (OSD), manakala enam lagi sedang dalam pembinaan dan enam tambahan dirancang pada 2027.

“Selain itu tembok penahan banjir sepanjang 1.3 kilometer turut disiapkan,” katanya.

Tambahnya, DBKL berjaya mengurangkan lokasi berisiko banjir di ibu negara daripada 31 pada 2022 kepada 14 tahun ini, iaitu penurunan lebih 50 peratus, menerusi pengurusan sistem perparitan, sungai dan kolam takungan air.

“DBKL membelanjakan RM15 juta bagi usaha itu pada 2022, RM16 juta pada 2023 dan RM15 juta tahun ini.

“Tambahan RM27 juta diperuntukkan bagi tahun depan untuk mengurangkan jumlah lokasi berisiko banjir kepada 10 atau kurang,” katanya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang bencana, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan, Kolonel Mohd Rosman Abdullah, berkata, seramai 4,162 anggota daripada pelbagai agensi berada dalam keadaan bersiap sedia.

Katanya, sebanyak 139 lori, 60 bot dan 144 kenderaan pacuan empat roda turut disediakan untuk digerakkan, manakala 120 pusat pemindahan sementara mampu menempatkan sehingga 31,000 orang.

“Apa yang berada dalam kawalan manusia dan agensi, kita mahu melakukan yang terbaik bagi memastikan kita bersedia,” katanya. -BH Online