Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penyertaan siri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 seterusnya dijangka meningkat dengan pembukaan beberapa kem latihan tahun hadapan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ketika ini kerja pembaikan kem lain sedang berjalan dan jumlah penyertaan pelatih dijangka terus bertambah mengikut perancangan sebaik kerja pembaikan terbabit siap sepenuhnya.

“Tahun ini kita ada lapan (kem latihan) dan pada tahun hadapan, Kem Gemas akan dibuka untuk PLKN menjadikan keseluruhannya sembilan (kem latihan),” katanya pada sidang media di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) di Kem Askar Wataniah 515, hari ini.

Pada hari ini, 1,899 pelatih menyertai Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 di seluruh negara di semua kem yang terbabit dengan PLKN 3.0 selepas mengharungi latihan 45 hari, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini, 236 orang Wira Muda wanita berjaya menamatkan latihan dengan rekod sifar keciciran, iaitu tiada seorang pun pelatih yang keluar atau meminta untuk pulang.

“Secara keseluruhan, di seluruh negara pada tahun ini, seramai 1,899 pelatih terlibat dalam perbarisan tamat latihan yang diadakan secara serentak di kem-kem lain (hari ini),” katanya pada sidang media di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) di Kem Askar Wataniah 515, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled sempat menyaksikan perbarisan tamat latihan membabitkan 236 pelatih wanita yang turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) Datuk Lokman Hakim Ali.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Jeneral (B) Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal. -BH Online