KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih daripada pendekatan ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ dengan membangunkan teknologi sendiri, memiliki harta intelek dan membina syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata perubahan landskap pelaburan dan rantaian bekalan global akibat dasar perlindungan perdagangan, persaingan geopolitik serta perkembangan teknologi memerlukan Malaysia meningkatkan keupayaan industri tempatan.
“Negara tidak boleh terus berpuas hati sekadar menjadi pusat pemasangan produk atau membekalkan bakat untuk inovasi yang dibangunkan di luar negara,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan Khazanah di sini, hari ini.
Beliau berkata, menerusi inisiatif GEAR-uP yang diperkenalkan pada 2024, Khazanah Nasional Bhd bersama lima syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain komited melaksanakan pelaburan langsung domestik berjumlah RM120 bilion dalam tempoh lima tahun.
Menurutnya, pelaburan berkenaan kekal berteraskan pertimbangan komersial dan pulangan, namun turut berpotensi membangunkan industri masa depan, memperkukuh keupayaan teknologi tempatan, mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan meningkatkan pendapatan rakyat.
“Apabila pelaburan ini membantu syarikat Malaysia berkembang, membina keupayaan teknologi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan meningkatkan pendapatan, manfaatnya melangkaui nilai pelaburan asal.
“Modal yang dibina sepanjang beberapa generasi kini membantu menyemai generasi kekayaan negara yang seterusnya,” katanya.
Amir Hamzah berkata, pendekatan sama turut diterapkan menerusi inisiatif Bakat MADANI yang menyasarkan pewujudan 30,000 peluang pekerjaan baharu di bawah Belanjawan 2027.
Katanya, inisiatif itu bertujuan memperluas akses rakyat Malaysia kepada peluang yang diwujudkan melalui pembangunan industri dan pelaburan domestik.
Beliau turut menekankan kepentingan memelihara kekayaan negara untuk generasi akan datang, khususnya hasil daripada sumber asli yang terhad dan tidak seharusnya dibelanjakan sepenuhnya oleh generasi masa kini.
“Prinsip itu menjadi asas penubuhan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) pada 1988, manakala Akta Dana Amanah Negara 2026 bertujuan memperkukuh peraturan berkaitan sumbangan, pengeluaran dan pelaburan dana berkenaan.
“Pengurusan aset negara dan pembangunan modal insan perlu bergerak seiring bagi memastikan kekayaan yang diwarisi hari ini terus membuka peluang ekonomi kepada generasi akan datang,” katanya. -BH Online

