Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat sebarang ketetapan berhubung cadangan perolehan sistem peluru berpandu jelajah supersonik BrahMos dari India, sebaliknya ia masih di peringkat penerokaan. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap perancangan perolehan dibuat dengan mengutamakan tahap kesiagaan dan keupayaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Cadangan perolehan sistem peluru berpandu BrahMos dibangkitkan dalam perbincangan awal di peringkat kerajaan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India pada September lalu. 

“Bagaimanapun, cadangan itu masih di peringkat penerokaan dan belum mendapat sebarang ketetapan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen malam tadi. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai status perbincangan serta penilaian teknikal berhubung cadangan perolehan peluru berpandu itu. 

Katanya, sebarang cadangan perolehan sistem persenjataan baharu akan terlebih dahulu melalui penilaian teknikal secara menyeluruh oleh TUDM sebagai pengguna akhir. 

“Ini khususnya dari segi keperluan operasi, keserasian dengan platform sedia ada, integrasi sistem, keperluan naik taraf dan kos kitar hayat. 

“Justeru itu, bagi perolehan sistem peluru berpandu seperti BrahMos, aspek integrasi dengan pesawat Su-30MKM memerlukan penelitian teknikal.

“Ini termasuk pengubahsuaian platform, pengujian dan pengesahan yang lazimnya mengambil tempoh masa lama sebelum keupayaan itu dapat dioperasikan sepenuhnya,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pertahanan belum membuat keputusan muktamad mengenai cadangan perolehan sistem peluru berpandu krus supersonik BrahMos dari India. 

Khaled dilaporkan berkata, cadangan yang dibangkitkan ketika lawatan Perdana Menteri ke negara itu akan dikaji terlebih dahulu TUDM.-BH Online