KLANG: Keselamatan pemasangan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) perlu diberi keutamaan bagi mengelak risiko kegagalan sistem, kebakaran dan ancaman terhadap keselamatan awam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata setiap projek BESS perlu mematuhi keperluan teknikal dan kod grid yang berkuat kuasa, selain garis panduan keselamatan sistem penyimpanan tenaga bateri yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi memastikan sistem berkenaan memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan prestasi ditetapkan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, teknologi bateri mempunyai ciri teknikal yang kompleks dan memerlukan kawalan ketat berkaitan reka bentuk, pemilihan komponen, pemasangan, pengoperasian sehingga kepada penyelenggaraan sistem. null
Katanya, ciri berkenaan bukan sahaja terpakai kepada BESS berskala besar, tetapi turut membabitkan BESS yang digunakan di rumah mahupun di premis kecil.
“Sekiranya tidak dilaksanakan dengan pematuhan ketat terhadap piawaian keselamatan yang ditetapkan, BESS berpotensi membawa risiko seperti kegagalan sistem, kejadian haba tidak terkawal kebakaran serta implikasi terhadap keselamatan awam dan alam sekitar.
“Oleh itu, penting untuk memastikan setiap pemasangan BESS di Malaysia mematuhi piawaian keselamatan, kualiti dan prestasi yang tinggi, sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Projek Perintis Persijilan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam pembangunan teknologi tenaga, keselamatan bukan pilihan, bukan kompromi dan bukan perkara yang boleh dipertimbangkan kemudian.
Katanya, keselamatan mesti menjadi asas kepada setiap keputusan yang mana kemajuan teknologi tidak akan memberi makna sekiranya keselamatan rakyat dipertaruhkan.
“Justeru, Suruhanjaya Tenaga (ST) selaku badan kawal selia bekalan elektrik negara telah mengeluarkan Battery Energy Storage System (BESS) Safety Guidelines yang mana pelbagai piawaian dan standard keselamatan BESS telah ditetapkan di bawah Garis Panduan ini,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada BESSC Sdn Bhd atas inisiatif sebagai entiti perintis persijilan tambahan BESS di negara ini.
Beliau berkata, persijilan BESS yang sedang dibangunkan oleh BESSC bukan sekadar satu perkhidmatan persijilan, sebaliknya ia adalah satu usaha membina asas kepada ekosistem penyimpanan tenaga yang lebih selamat, lebih diyakini dan lebih berdaya saing. -BH Online
