Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Keghairahan mengejar kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum tidak seharusnya menyebabkan generasi muda mengabaikan nilai kemanusiaan, budaya serta akhlak yang menjadi asas pembentukan jati diri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sistem pendidikan negara perlu mengimbangi penguasaan teknologi baharu dengan pembentukan sahsiah bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah mempunyai prinsip dan pedoman hidup.

Beliau berkata kemajuan teknologi yang diibaratkan sebagai usaha ‘menggapai di langit’ mesti bergerak seiring falsafah ‘mengakar di bumi’ yang merangkumi penghayatan bahasa, budaya, sastera, agama dan nilai kemanusiaan.

“Jadi jangan kita dalam keghairahan menggapai di langit, ketinggalan untuk mengakar di bumi atau terlalu asyik dengan kemasalahan di bumi, terlupa untuk mengangkat martabat dan harakat manusia dan negara kita.

“Kita mesti berusaha untuk meneroka, menerobos disiplin alam, pemikiran dan teknologi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Anwar berkata, perkembangan pesat teknologi digital menuntut institusi pendidikan melahirkan tenaga kerja yang mampu menguasai disiplin ilmu baharu, namun matlamat pendidikan tidak seharusnya terbatas kepada pencapaian akademik dan kepakaran teknikal semata-mata.

Sebaliknya, katanya, pendidikan perlu membentuk insan yang memahami perbezaan antara perkara benar dengan salah, selain menghormati maruah individu tanpa mengira kedudukan, agama atau kaum.

“Kadang-kadang bila naik kedudukan dia, dia lupa akar dan cara dia bertindak, bekerja sebagai pegawai, peniaga, atau orang politik, itu sudah hilang pedoman dan akhlak,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan sistem pendidikan sekiranya seseorang yang melalui proses pembelajaran selama bertahun-tahun masih memandang rendah individu berdasarkan kemiskinan, agama atau latar belakang kaum.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan penguasaan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kekal penting bagi memastikan Malaysia mampu bersaing sebagai negara maju, khususnya ketika industri semakin bergantung kepada teknologi canggih.

Bagaimanapun, katanya, kecemerlangan dalam bidang pengkhususan tidak seharusnya menghakis kepekaan terhadap penderitaan, kesusahan dan hak sesama manusia.

“Jangan pengkhususan, kepandaian, kepintaran menjadi jurutera terkemuka, teknokrat terkemuka, dapat hadiah-hadiah ini, tetapi hilang nilai keinsanan, kemanusiaan kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu warga pendidik memastikan pembangunan ilmu dan kemahiran dilaksanakan seiring dengan penerapan adab, akhlak serta nilai kemanusiaan.

Katanya, usaha melahirkan generasi yang menguasai teknologi tercanggih perlu disertai pembentukan peribadi yang mampu mengangkat martabat manusia dan negara.-BH Online