Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 77 peratus projek sakit tahun ini berpunca kelemahan pengurusan kontraktor, terutama dalam aspek perancangan, penyelarasan kerja di tapak, pengurusan tenaga kerja serta jentera dan bekalan bahan binaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata berdasarkan analisis Jabatan Kerja Raya (JKR), baki 23 peratus kelewatan pula disebabkan faktor lain termasuk kelewatan kerja pengalihan utiliti, isu pengambilan balik tanah, akses ke tapak bina terhad, kekangan bekalan bahan binaan, kenaikan harga diesel serta isu teknikal berkaitan pelaksanaan projek.

Beliau berkata, trend projek sakit tahun ini menunjukkan penurunan berbanding kadar tertinggi direkodkan Julai lalu, iaitu 6.51 peratus membabitkan 55 projek.

Katanya, kadar itu berjaya dikurangkan kepada 3.77 peratus atau 33 projek pada September lalu, sebelum meningkat sedikit kepada 4.32 peratus atau 38 projek (Oktober).

“Berdasarkan analisis terhadap punca kelewatan, sebanyak 77 peratus daripada punca kelewatan dikenal pasti disebabkan kelemahan pengurusan pihak kontraktor, khususnya dari aspek perancangan dan penyelarasan kerja di tapak kurang berkesan, pengurusan tenaga kerja tidak mencukupi serta kelemahan dalam pengurusan jentera dan bekalan bahan binaan.

“Baki 23 peratus pula disebabkan faktor lain antaranya kelewatan kerja pengalihan utiliti, isu pengambilan balik tanah, akses ke tapak bina terhad, kekangan bekalan bahan binaan, kenaikan harga diesel serta isu teknikal lain berkaitan pelaksanaan projek,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) di Dewan Rakyat hari ini, yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah dan nilai projek dikategorikan sebagai projek sakit, termasuk punca utama kelewatan serta tindakan terhadap kontraktor terbabit.

Ahli Parlimen itu turut meminta penjelasan mengenai implikasi kelewatan berkenaan terhadap peningkatan kos kerajaan, keselamatan, keselesaan dan akses rakyat kepada kemudahan serta perkhidmatan awam.

Mengulas tindakan menangani projek sakit, Alexander berkata, JKR melaksanakan pemantauan rapi dan intervensi secara berterusan terhadap 38 projek berkenaan, termasuk merujuknya kepada Jawatankuasa Project Solving Governance (PSG) bagi mengenal pasti isu serta menetapkan langkah pemulihan bersesuaian.

Katanya, kementerian mengambil pelbagai langkah proaktif dan berterusan bagi menangani kelewatan pelaksanaan projek, termasuk memperketat pemantauan kemajuan kerja, melaksanakan intervensi awal serta memperkukuh mekanisme penyelesaian masalah menerusi jawatankuasa berkenaan.

“Tujuan Jawatankuasa PSG dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya adalah untuk memastikan segala obligasi dan tanggungjawab di pihak kerajaan dipenuhi sewajarnya sebelum projek diangkat ke Jawatankuasa Contract Coordination Panel (CCP).

“Sebagai bukti keseriusan kerajaan dalam menangani isu projek sakit, daripada 38 projek dikategorikan sebagai projek sakit sehingga Oktober lalu, sebanyak enam projek sudah dirujuk kepada CCP dan kini dalam tindakan penamatan kontrak,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kegagalan kontraktor melaksanakan tanggungjawab kontrak, khususnya apabila segala obligasi di pihak kerajaan sudah dipenuhi dan usaha pemulihan projek tidak menunjukkan keberkesanan.

“KKR dan JKR akan terus memperkukuh pemantauan dan tindakan intervensi bagi memastikan projek pembangunan dapat disiapkan dengan teratur, memenuhi skop, kos dan kualiti ditetapkan, di samping melindungi kepentingan kerajaan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat,” katanya. -BH Online