Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Daya tahan sumber air perlu terus menjadi keutamaan strategik negara berikutan tekanan dihadapi sistem pengurusan sumber itu sudah menjadi semakin kompleks, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia perlu diterapkan dalam perancangan pembangunan bandar, pengurusan guna tanah, perlindungan kawasan tadahan air dan pelaburan pembangunan infrastruktur.

Justeru, katanya, sebarang aktiviti pembukaan tanah dan pembangunan dirancang di kawasan berhampiran sungai perlu mengambil kira kesannya terhadap kawasan hilir.

“Keupayaan negara untuk terus membangun tidak boleh dipisahkan dengan keupayaan mengurus sumber air secara cekap, berkesan serta berasaskan pendekatan sistem bersepadu.

“Dasar, institusi dan pelaburan perlu digembleng ke arah pencapaian matlamat bersama, berpandukan bukti dan data boleh dipercayai serta komitmen jangka panjang, melangkaui pelaksanaan projek secara individu.

“Keadaan ini antara lain memerlukan semua pihak memperkukuh perancangan strategik jangka panjang, selain meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan tindakan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekohidrologi serta Daya Tahan Air (ICEWR), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran, Datuk Mohamad Radzi Abdul Talib serta Pakar Program Kanan Unit Sains Semula Jadi dari Pejabat Serantau Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Dr Engin Koncagul.

Fadillah berkata, perubahan iklim dan perubahan corak taburan hujan adalah antara faktor menyumbang sistem pengurusan air di negara ini bertukar menjadi semakin kompleks.

Keadaan itu, katanya, turut didorong faktor kejadian banjir dan kemarau, pembandaran pesat serta peningkatan permintaan terhadap sumber air.

“Justeru, setiap keputusan pembangunan perlu mengambil kira sumber bekalan air, aliran pergerakannya serta pihak yang menerima kesan daripada pembangunan berkenaan.

“Sebarang keputusan membersih atau meneroka tanah, mengubah aliran sungai atau membangunkan kawasan tadahan boleh memberi kesan kepada populasi di luar sempadan kawasan projek berkenaan.

“Ini kerana, setiap aktiviti di hulu sungai akan memberi kesan kepada kawasan hilir. Sumber air menghubungkan setiap tindakan kita, meskipun tanggungjawab pentadbiran dibahagikan antara pelbagai agensi dan peringkat kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah menggesa, penyelidikan saintifik, data boleh dipercayai, sistem pemantauan serta teknologi digital dipertingkatkan diguna bagi menambah baik penilaian risiko, selain menyokong proses membuat keputusan lebih berkesan.

Beliau turut menggariskan tiga keutamaan bagi memperkukuh daya tahan sumber air, iaitu menterjemah pengetahuan saintifik kepada keputusan dasar, memperluas pelaksanaan penyelesaian terbukti berkesan serta membentuk kerjasama melalui penyelidikan bersama, projek rintis dan latihan profesional.

“Pendekatan terbukti berjaya perlu diuji mengikut keadaan dan keperluan tempatan, selain dinilai mengikut keberkesanan serta disokong peruntukan sumber mencukupi dan penyelenggaraan jangka panjang,” katanya. -BH Online