PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan kurikulum baharu bagi pelajar Tingkatan Satu dan Tahun Satu, tahun depan dengan memberi penekanan kepada penggunaan platform digital secara selamat.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata kurikulum baharu itu turut memberi pendedahan kepada murid mengenai kemahiran digital, termasuk penggunaan aplikasi dan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara beretika serta bertanggungjawab.
“Kita mahu anak-anak bukan sekadar bergantung kepada AI untuk mendapatkan jawapan, sebaliknya belajar mengemukakan soalan yang lebih baik.
“Jadi, kurikulum baharu Tingkatan Satu yang akan dilaksanakan tahun depan memberi penekanan khusus kepada bagaimana murid menggunakan pelbagai aplikasi dan platform digital dengan selamat, selain memperkukuh kemahiran mereka dalam bidang berkenaan,” katanya.
Fadhlina berkata, usaha memperkukuh kemahiran digital murid perlu disertai penerapan nilai etika dan tanggungjawab bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan teknologi secara selamat.
Beliau berkata, pendedahan itu penting memandangkan perkembangan teknologi digital, khususnya AI, memerlukan murid mempunyai keupayaan menilai maklumat serta menggunakan teknologi berkenaan secara bijak.
“Mudah-mudahan, usaha dilaksanakan mulai tahun depan akan memberikan manfaat besar kepada seluruh warga sekolah,” katanya.
Fadhlina turut mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM50,000 bagi membantu usaha penambahbaikan dan pembangunan sekolah.
“Insya-Allah, dengan sokongan dan peruntukan ini, kita berharap persekitaran sekolah akan menjadi lebih baik, menarik dan kondusif untuk anak-anak belajar serta mengembangkan potensi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga digalakkan mengemukakan permohonan bantuan penyelenggaraan sekolah menerusi pautan yang disediakan bagi membolehkan kerja penambahbaikan kemudahan sekolah dilaksanakan.
“Maklumat lanjut dan pautan permohonan boleh didapati menerusi laman web serta platform media sosial berkaitan.
“Ini juga sebahagian daripada usaha besar kerajaan untuk memastikan kemudahan dan persekitaran sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik serta memenuhi keperluan warga pendidikan,” katanya.-BH Online

