SHAH ALAM: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) diminta mengenal pasti sekolah berisiko banjir bagi memastikan urusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata persediaan bagi mendepani bencana itu dibuat sebaik mungkin memandangkan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) bermula 27 Oktober lalu.
“Kita akan dapatkan maklumat berhubung perkara ini. Saya dah minta JPNS kenal pasti lokasi lazim (banjir) supaya kita boleh bersiap sedia ketika musim perlahan MTL ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisel dan Mega Nutrisel 2026 di sini, hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga meluluskan kira-kira RM800,000 bagi melaksanakan projek segera mengatasi masalah banjir, khususnya sekitar persimpangan I-City, Seksyen 7 dan Taman Rashna, Klang.
Katanya, semua projek berkenaan dijangka siap menjelang awal Disember ini sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat terutamanya apabila berlaku hujan lebat.
“Selain itu, kita juga sediakan pam sebagai langkah alternatif mengelakkan berlakunya banjir di kawasan terbabit. Sekarang dah masuk peralihan MTL, jadi seperti biasa kita akan kenal pasti titik panas banjir untuk persediaan,” katanya.
MTL bermula pada 27 Oktober dijangka berterusan hingga Mac 2027 dengan diramalkan membawa antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan, khususnya dari November hingga Januari. Ia sekali gus meningkatkan risiko banjir, terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Bulan lalu, beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dan Klang termasuk persimpangan lampu isyarat I-City dan Bukit Raja dinaiki air susulan hujan lebat. -BH Online

