KUALA LUMPUR: Pesawat kedua FA-50M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Pangkalan Udara (PU) Labuan, hari ini.
Perkara itu dikongsikan TUDM menerusi satu hantaran di Facebook rasmi angkatan pertahanan terbabit.
“FA-50M M58-02 selamat mendarat di PU Labuan,” kata TUDM dalam satu hantaran pendek bersama dua keping foto hari ini.
Difahamkan, pesawat bernombor pendaftaran M58-02 itu tiba di PU Labuan kira-kira 11.40 pagi tadi.
Terdahulu, media melaporkan TUDM melakar sejarah baharu apabila pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan tiba di PU Labuan, kelmarin.
Detik bersejarah ketibaan pesawat pertama berkenaan di ruang udara negara diserikan dengan penerbangan formasi pengiring khas membabitkan enam pesawat pejuang TUDM sedia ada, iaitu dua Sukhoi Su-30MKM, dua F/A-18D Hornet serta dua pesawat BAE Hawk.
Pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 itu dirancang untuk ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan dan sebahagiannya di Labuan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM). -BH Online
