BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan mencari ikhtiar penyelesaian bayaran tunggakan projek luar bandar berjumlah RM259.5 juta, khususnya membabitkan kontraktor yang sudah menyiapkan tugasan masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, usaha perlu dilakukan bagi memastikan dana pembayaran dapat disediakan, khususnya bagi projek yang sudah diselesaikan tetapi masih belum menerima bayaran.
Katanya, pembayaran mengikut kemajuan kerja kepada kontraktor dan pembekal juga perlu diberi perhatian.
“Saya fikir perkara itu telah dijelaskan oleh Ketua Setiausaha Akhbar saya di KKDW dan penjelasan itu sepatutnya difahami oleh semua pihak.
“Kita akan menentukan pada baki akhir tahun ini mana-mana pembayaran bagi projek-projek yang telah diselesaikan tetapi belum dapat bayaran, kita akan ikhtiarkan agar dana itu dapat membuat pembayaran.
“Begitu juga bayaran mengikut kerja-kerja kemajuan kepada kontraktor dan juga para pembekal,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026, di sini, hari ini.
Zahid berkata, isu berkenaan juga sudah dijelaskannya di Parlimen dan dijawab oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Menteri KKDW, Fadzmel Fadzil mendedahkan RM259.503 juta tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan pemilik tanah masih belum dilunaskan setakat 30 September lalu, membabitkan 112 projek.
Beliau menjelaskan tunggakan itu berpunca komitmen projek beberapa tahun terdahulu yang sudah dilaksanakan tetapi belum dibayar, menyebabkan ia terpaksa dibawa ke tahun-tahun berikutnya.
Menurut Fadzmel, KKDW terpaksa menggunakan peruntukan dalaman sedia ada untuk membayar tunggakan berkenaan, sekali gus memberi kesan kepada pelaksanaan program dan projek lain termasuk pembinaan serta baik pulih rumah golongan miskin dan Orang Asli yang membabitkan peruntukan RM200 juta. -BH Online
