KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mengesan lebih awal isu yang berpotensi menjejaskan keharmonian kaum selain membendung penyebaran maklumat palsu di media sosial.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha itu dilaksanakan melalui beberapa inisiatif bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang digunakan ialah sistem Artificial Intelligence Fact-Check Assistance (AIFA) yang membantu orang ramai menyemak kesahihan maklumat yang disebarkan secara dalam talian.
“Selain itu, portal Sebenarnya.my turut digunakan sebagai platform semakan fakta bagi membendung penyebaran berita palsu serta maklumat mengelirukan.
Beliau berkata SKMM turut melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran pelajar, belia dan komuniti mengenai penggunaan media sosial secara bertanggungjawab.” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Aaron berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Gajah, Dr Sivakumar Varatharaju Naidu yang meminta kementerian menjelaskan penggunaan AI untuk mengesan awal isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta menyebarkan mesej perpaduan melalui platform digital.
Menurut beliau, pemantauan terhadap kandungan berunsur 3R melibatkan kaum, agama dan institusi diraja terus dipertingkatkan.
Katanya, sejak tahun 2022 hingga kini, sebanyak 8,540 kandungan 3R telah diturunkan oleh SKMM dengan kerjasama pengendali platform media sosial.
Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan ruang digital terus menjadi medium yang menyokong perpaduan nasional dan keharmonian masyarakat berbilang kaum. -Astro Awani
