Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan tahanan di rumah yang memberi tumpuan kepada banduan reman kini berada di peringkat akhir penelitian Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ketika ini tiada peruntukan undang-undang khusus di bawah KDN atau Jabatan Penjara yang membolehkan seseorang banduan menjalani hukuman pemenjaraan di kediaman sendiri menerusi mekanisme tahanan di rumah.

“KDN sedang menggubal RUU berkaitan tahanan di rumah yang memberikan tumpuan kepada banduan reman, yang kini berada di peringkat akhir penelitian oleh kementerian dan AGC,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai peruntukan undang-undang yang membolehkan seseorang banduan menjalani hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata, seseorang banduan boleh dipertimbangkan untuk mendapat pengampunan, pengurangan atau peringanan hukuman serta penangguhan pelaksanaan hukuman.

Beliau berkata perkara itu tertakluk kepada Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa Lembaga Pengampunan serta perkenan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

“Dalam hal berkaitan, pengampunan bersyarat ialah kuasa prerogatif pengampunan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Lembaga Pengampunan dan perlu dibezakan daripada perintah tahanan di rumah di bawah suatu undang-undang khusus,” katanya.-BH Online