KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) bagi menyelaras pembangunan industri gas negara termasuk memastikan keterjaminan bekalan tenaga, memperkukuh daya saing pasaran dan membuka peluang pertumbuhan ekonomi baharu.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pelan itu akan menjadi panduan kepada pembangunan sektor gas secara terselaras, sejajar dengan dasar negara dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata, keberkesanan pelan itu bergantung kepada keupayaan kerajaan dan industri menterjemahkan hala tuju itu kepada projek, pembaharuan serta hasil yang boleh diukur.
“Pelan hala tuju hanya akan bermakna jika ia diterjemahkan kepada projek, pembaharuan dan hasil yang boleh diukur,” katanya ketika merasmikan Simposium Gas Malaysia (MyGAS) 2026, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, pembangunan industri gas perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda ekonomi negara.
Beliau berkata, ini khususnya dalam memastikan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya saing ketika permintaan meningkat susulan perkembangan industri pembuatan maju, pusat data dan sektor digital.
Katanya, ketidaktentuan geopolitik serta gangguan perdagangan gas asli cecair (LNG) antarabangsa tahun ini turut meningkatkan risiko terhadap ketersediaan bekalan dan turun naik harga di rantau ini.
Justeru, tegasnya, Malaysia perlu memperkukuh sumber gas domestik, mempelbagaikan sumber import LNG serta memastikan infrastruktur mencukupi untuk menyalurkan bekalan kepada pengguna.
“Dalam usaha memperkukuh keselamatan bekalan jangka panjang, kerajaan juga bersetuju dengan pembangunan Terminal Regasifikasi Ketiga (RGT3) di Lumut, Perak oleh PETRONAS Gas Bhd menggunakan konsep Unit Penyimpanan dan Regasifikasi Terapung (FSRU).
“Kemudahan itu disasarkan memulakan operasi komersial pada suku kedua 2029 dan dijangka meningkatkan daya tahan serta fleksibiliti infrastruktur bekalan gas negara,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, pembangunan infrastruktur turut merangkumi peluasan pengagihan gas di Sabah dan pembangunan empat hab gas di Sarawak, dengan mengambil kira keperluan serta permintaan tenaga yang berbeza mengikut wilayah.
Beliau berkata, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong sistem elektrik, pengeluaran industri dan aktiviti ekonomi bernilai tinggi ketika Malaysia melaksanakan peralihan tenaga.
Katanya, di bawah laluan Peralihan Bertanggungjawab dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), gas asli diunjurkan menyumbang 56 peratus daripada jumlah bekalan tenaga primer Malaysia menjelang 2050.
Menurutnya, pembangunan industri itu perlu turut memberikan manfaat ekonomi kepada negara menerusi pengembangan industri hiliran, pewujudan pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan eksport dan peluang kepada pembekal tempatan.
“Pada masa sama, industri perlu meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurus pelepasan metana, selain meneroka teknologi seperti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta biometana apabila sesuai dari segi teknikal dan berdaya maju secara komersial.
“Keyakinan pasaran tidak dibina melalui pengumuman semata-mata, sebaliknya memerlukan pelaksanaan konsisten, tadbir urus baik dan hasil yang dapat dirasai oleh industri serta rakyat,” katanya. -BH Online
