PUTRAJAYA: Masyarakat diingatkan supaya tidak menjadikan status kelahiran seorang anak sebagai alasan untuk menghina, mengaibkan atau mendiskriminasi mereka sehingga terpaksa menanggung beban sosial sepanjang hayat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata seorang anak tidak seharusnya dipersalahkan atas keadaan kelahirannya kerana prinsip Islam jelas menegaskan bahawa seseorang individu tidak memikul dosa orang lain.
Beliau berkata walaupun ketetapan hukum berkaitan nasab perlu dipelihara, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadikan anak sebagai sasaran penghakiman sosial.
“Perbincangan tentang hukum tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghina, mengaibkan atau mendiskriminasikan seorang anak.
“Kita perlu membina masyarakat yang mampu membezakan antara menilai sesuatu perbuatan dengan menghukum seseorang insan sepanjang hayatnya,” katanya ketika berucap pada Seminar Nasab Kebangsaan: Dinamika Cabaran Keluarga Kosmopolitan (SANAD) 2026 anjuran Persatuan Kebajikan Bayt Al-Rahmah, di sini hari ini.
Zulkifli berkata masyarakat juga perlu berhati-hati dengan penggunaan bahasa dalam keluarga, institusi pendidikan dan urusan pentadbiran supaya tidak menyebabkan anak itu menanggung beban sosial berpanjangan.
Beliau berkata prinsip al-Quran yang menegaskan bahawa seseorang tidak memikul dosa orang lain seharusnya menjadi asas moral dalam memastikan anak tidak dipersalahkan atas keadaan kelahirannya.
Pada masa sama, Zulkifli berkata perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada ibu yang berdepan dengan krisis kehamilan atau kelahiran kerana mereka mungkin memerlukan bantuan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, meneruskan pendidikan dan membina semula kestabilan emosi.
“Mereka mungkin memerlukan sokongan untuk mendapat perkhidmatan kesihatan, meneruskan pendidikan, membina semula kestabilan emosi, membaiki hubungan keluarga atau merancang masa depan dengan lebih teratur,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata persoalan nasab tidak boleh ditangani berdasarkan andaian, tanggapan masyarakat atau emosi semata-mata, sebaliknya memerlukan penelitian fakta, kefahaman prinsip syariah dan rujukan kepada pihak berautoriti.
Beliau berkata isu berkenaan turut mempunyai implikasi terhadap urusan kekeluargaan, pewarisan, perwalian, hubungan mahram serta penamaan dan pendaftaran kelahiran yang perlu diteliti berdasarkan hukum dan peruntukan undang-undang berkaitan.
Beliau berkata pengurusan isu nasab juga tidak seharusnya terhenti pada penentuan kedudukan hukum semata-mata kerana aspek penjagaan, pendidikan, perlindungan, kesejahteraan dan masa depan anak turut perlu diberi perhatian.
Sehubungan dengan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama bersepadu antara institusi agama, mahkamah, agensi kerajaan, badan kebajikan, penyedia perkhidmatan kaunseling dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani cabaran berkaitan nasab.
“Isu nasab bukanlah perkara yang boleh difahami melalui satu sudut pandang sahaja, sebaliknya memerlukan penelitian ilmu, kefahaman terhadap prinsip syariah, ketepatan dalam urusan perundangan dan pentadbiran, serta keprihatinan terhadap kesan yang dialami oleh individu dan keluarga,” katanya.
Zulkifli berkata NGO dan rumah perlindungan juga memainkan peranan penting dalam mengenal pasti jurang sokongan serta keperluan ibu dan anak yang belum dipenuhi.– BERNAMA
