Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR GAJAH: Rakyat diingatkan tidak mengambil mudah kepentingan mencarum skim LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bagi menghadapi risiko kemalangan dan kos rawatan semakin meningkat.

Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri R Ramanan, berkata peruntukan Belanjawan 2027 wajar dimanfaatkan segelintir pencarum yang berdepan kesukaran mengimbangi tekanan inflasi dan kepentingan jaringan perlindungan keselamatan sosial.

Beliau berkata, menerusi mekanisme pelepasan cukai tambahan RM150 setahun, insentif itu disifatkan sebagai peluang terbaik kepada pencarum yang sebelum ini mengambil keputusan tidak menyertai skim berkenaan.

Katanya, sikap sesetengah individu yang memilih untuk menyimpan wang sendiri berbanding mencarum, boleh mengundang kesukaran jika berdepan kecemasan atau memerlukan rawatan perubatan pada masa depan.

“Janganlah bila hujan baru kita nak cari payung. Sekarang kos perubatan sangat tinggi. 

“Kos perubatan sudah mencecah puluhan ribu ringgit, sekarang boleh meningkat kepada ratusan ribu ringgit, malah ada rawatan menelan kos sehingga RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian mengyulas kira-kira 1.2 juta individu tidak mencarum skim itu, pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian program i LINDUNG u Gegar @ Melaka di Dataran Keris, di sini, hari ini.

Ramanan berkata, kemalangan boleh berlaku bila-bila masa tanpa sebarang amaran, sekali gus menyebabkan seseorang terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi.

Beliau turut menaja 400 suri rumah yang didaftarkan sebagai pencarum LINDUNG Kasih, sekali gus melayakkan mereka menerima perlindungan daripada PERKESO sekiranya berlaku musibah tidak terduga.

Ditanya mengenai Skim Pengembara, beliau berkata kertas cadangan sudah mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan akan dibawa ke sidang Parlimen.

Beliau berkata, PERKESO juga mengadakan sesi libat urus dengan lebih 800 pertubuhan bukan kerajaan dan mereka yang bekerja di Singapura untuk sesi dialog dan penerangan mengenai skim itu di Johor Bahru bersama Duta Besar Malaysia ke Singapura.-BH Online