PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menyediakan Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum dan kerangka gaji baharu dibuat secara teratur dan mempunyai asas jelas kepada majikan serta pekerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata garis panduan itu akan menyediakan rujukan gaji pokok permulaan lebih komprehensif mengikut jenis pekerjaan dan tahap kelayakan.
Katanya, KESUMA juga sedang memperincikan mekanisme bagi memantau pembayaran gaji pekerja melalui modul e-wages yang dicadangkan untuk merangkumi semua pekerja termasuk pekerja warga asing.
“Mekanisme ini akan memudah dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang perburuhan dengan memastikan gaji dibayar melalui kaedah pembayaran dan tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955.
“Gaji juga perlu dibayar sebagaimana dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan seperti kadar gaji, elaun, insentif dan bonus.
“Mekanisme ini akan mengurangkan isu gaji pekerja tidak dibayar, lambat dibayar dan tidak mengikut kadar yang sebenar dan di bawah kadar gaji minimum,” katanya pada sidang media Perintah Gaji Minimum 2027 di Menara PERKESO di sini, hari ini.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2027 mengumumkan peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan bermula Jun 2027 yang memanfaatkan lebih empat juta pekerja.
Kerajaan juga mengumumkan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerja separa mahir dan graduan sebagai permulaan.
Ramanan berkata, KESUMA akan memastikan kadar diterbitkan sentiasa berasaskan keadaan pasaran buruh semasa.
Katanya, kadar gaji pokok permulaan akan dikemas kini menggunakan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan maklumat berkenaan akan dimuat naik dalam portal e-MASCO serta diterbitkan bersama Perintah Gaji Minimum Baharu pada Jun 2027.
Pada masa sama, katanya KESUMA akan mengambil tindakan sewajarnya untuk meminda Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) memasukkan elemen kelayakan tahap pendidikan bagi membolehkan pembayaran gaji minimum graduan diwajibkan pada masa hadapan.
“Ketika ini, akta berkenaan tidak mempunyai peruntukan khusus bagi penetapan gaji minimum berdasarkan tahap pendidikan,” katanya.
Ramanan berkata, pihaknya menyasarkan supaya garis panduan itu diterbit dan dilaksanakan seiring pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2026 pada Jun 2027.
Katanya, pendekatan itu akan menyediakan satu rujukan berpusat yang lebih jelas kepada majikan dan pekerja berhubung gaji pokok permulaan mengikut pekerjaan, kelayakan dan kemahiran.
Ditanya bagaimana kementerian dapat menentukan syarikat yang diwajibkan untuk mematuhi perintah berkenaan, beliau berkata, mekanisme e-wages menyediakan ‘live dashboard’ untuk memastikan setiap pihak mengikut peraturan yang disediakan dan gaji yang patut dibayar pada hari gaji yang ditetapkan.
Berkenaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan bawah RM50 juta yang dikecualikan daripada pelaksanaan gaji minimum, Ramanan berkata pihaknya amat mengalu-alukan sekiranya syarikat berkenaan bersedia untuk membayar gaji minimum RM2,000.
Ditanya sama ada KESUMA menerima aduan daripada mana-mana syarikat yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan gaji minimum, beliau mengakui ada segelintir tidak gembira dengan berita itu.
“Mereka ada berkongsi pandangan dengan kami tetapi sudah tentu Majlis Perundingan Gaji Negara sudah mengadakan banyak sesi libat urus dan banyak perbincangan dengan mereka.
“Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara dan pasukannya juga sudah duduk bersama menggunakan banyak data yang dikumpul daripada pelbagai kementerian dan pemain industri sebelum mereka mencapai keputusan yang dikira secara teliti ini,” katanya. -BH Online

