KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan bagi membuka lebih banyak peluang kepada murid serta guru di kedua-dua negara, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau dalam hantaran melalui Facebook, hari ini, berkata perkara itu dibincangkan pada pertemuan dengan rakan sejawat dari Singapura, Desmond Lee.
Katanya, perbincangan itu antara lain memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid menerusi program Malaysia-Singapore English Volunteers Programme(MSEVP).
“Kami turut membincangkan program pertukaran guru bahasa Melayu untuk berkongsi pengalaman serta kaedah pengajaran.
“Kerjasama itu turut merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan, termasuk perkongsian pengalaman Malaysia melalui platform pembelajaran digital, Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa),” katanya.
Selain itu, Fadhlina berkata, kedua-dua pihak berhasrat memperluaskan program jaringan sekolah bagi memberi ruang kepada murid mengenali kepelbagaian budaya dan belajar bersama rakan sebaya dari negara jiran.
Beliau berkata, setiap negara mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang pendidikan yang boleh dikongsi dan dipelajari bersama.
“Paling penting, kerjasama ini mesti membawa manfaat kepada guru dan murid,” katanya.-BH Online
