Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melepaskan kuasa eksekutif terhadap pentadbiran Parlimen adalah satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan kebebasan institusi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata langkah itu membolehkan Parlimen menguruskan hal ehwalnya secara bebas selepas lebih tiga dekad berada bawah cabang eksekutif.

“Berapa banyak Ketua Majlis Parlimen daripada kedua-dua pihak, sini dan sana? Berapa banyak Perdana Menteri? Inilah Perdana Menteri (Anwar) yang melepaskan kuasa mengawal Parlimen, (ibarat) bercerai talak tiga.

“Jadi, saya rasa semua kita patut berterima kasih kepada kerajaan hari ini, iaitu frontbench, kerana bersetuju melepaskan (kuasa) atas pembebasan yang telah kita setuju tahun lalu,” katanya selepas Sesi Penerangan berkaitan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Majlis Perkhidmatan Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai kenyataan balas kepada celahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mencadangkan isu peruntukan kepada Ahli Parlimen diuruskan sendiri oleh Parlimen menerusi Majlis Perkhidmatan Parlimen.

Sementara itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan susulan langkah berkenaan, namun berharap prinsip keadilan turut diterapkan dalam semua urusan Dewan Rakyat, termasuk perkara yang membabitkan kepentingan Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata, sebarang perkara berbangkit mengenai pentadbiran Parlimen wajar dibincangkan terlebih dahulu oleh wakil yang dilantik, sebelum keputusan dibuat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, sebelum memulakan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 berkata, pemulihan autonomi Parlimen selepas 33 tahun berada bawah pentadbiran eksekutif, perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan kebebasan institusi itu terus terpelihara.

Beliau berkata, pelantikan masing-masing dua wakil kerajaan dan pembangkang bawah Majlis Perkhidmatan Parlimen, semalam, membolehkan kedua-dua pihak memainkan peranan dalam membincangkan urusan pentadbiran Parlimen melalui majlis itu.

“Saya berharap kita sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kerana setelah 33 tahun Parlimen berada bawah eksekutif, sekarang kita faham betapa pentingnya bahawa Parlimen harus bebas serta merdeka. Maka, kita telah bebas. Hari ini, kita mesti memastikan kebebasan kita tidak tercalar,” katanya.

Kelmarin, Jawatankuasa Pemilih mencadangkan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) untuk menganggotai majlis itu sebagai wakil kerajaan, manakala Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mewakili pembangkang.

Penamaan empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan mendapat persetujuan Dewan Rakyat, semalam, menerusi usul yang dibentangkan Anwar selaku Ketua Majlis. -BH Online